Alif Amal Azahari


DUA kanak-kanak positif virus rabies yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching sejak 29 Jun lalu disahkan meninggal dunia tengah hari, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, dua beradik membabitkan kakak berusia enam tahun dan adik lelaki berusia empat tahun disahkan meninggal dunia, masing-masing pada 1.43 tengah hari dan 1.46 tengah hari.

“Diagnosis dijalankan terhadap kanak-kanak yang berasal dari Kampung Paon, Sungai Rimu, Serian itu mendapati otak mereka sudah gagal berfungsi.

“Keluarga kanak-kanak terbabit bersetuju menghentikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua beradik itu antara tiga kanak-kanak yang dimasukkan ke ICU HUS sejak 29 Jun lalu akibat jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila.

Seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun masih dalam keadaan kritikal di hospital sama.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu dikesan menerima jangkitan virus dalam dua kes berasingan di Kampung Paon Sungai Rimu, Serian dan Kampung Lebur, Gedong, Sarawak.

Semua mangsa mempunyai sejarah gigitan anjing kira-kira tiga hingga sebulan lalu sebelum jangkitan virus dikesan.

Hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak menjalankan proses vaksinasi rabies terhadap anjing dan kucing di kawasan terbabit manakala lima kampung diletakkan dalam zon pengawasan.

Kampung itu ialah Kampung Kerait, Kampung Paon, Kampung Paun, Kampung Remun dan Kampung Lebor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 7:19 PM