GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Muhamaad Razis Ismail


POLIS menafikan berlaku kejadian culik budak perempuan di sekolah rendah di Dabong, Kuala Krai, 2.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, sebaliknya, murid tahun lima itu diambil ibunya berusia 33 tahun tanpa kebenaran pihak sekolah.

"Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi bapa mangsa yang menyatakan anaknya diculik individu yang tidak dikenali.

"Kami terus bergegas ke lokasi kejadian dan memperoleh maklumat ibu mangsa datang ke sekolah berkenaan dan mengambil anaknya.

"Ibu mangsa yang dihubungi mengakui mengambil anaknya itu tanpa kebenaran sekolah.

"Hasil siasatan, kejadian berpunca daripada masalah keluarga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan pasangan suami isteri itu sudah bercerai empat tahun lalu dan mangsa berada di bawah jagaan bapanya manakala tiga lagi adik beradiknya tinggal bersama ibunya.

Sehubungan itu, Abdullah menasihatkan semua pihak menghormati keputusan mahkamah berhubung hak penjagaan anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 12:14 PM