BADRILA (kiri) menyampaikan sumbangan #HMKotakRezeki2017 kepada Mariam sambil diperhatikan Musa.
BADRILA (kiri) menyampaikan sumbangan #HMKotakRezeki2017 kepada Mariam sambil diperhatikan Musa.
Siti A’isyah Sukaimi

Dengkil: “Setiap hari saya keluar mencari barangan terbuang untuk dijual. Kadangkala dapat RM10 hingga RM15 dan ia masih boleh menampung kehidupan kami sekeluarga,” kata Mariam Idris, 64.

Dia tinggal di Taman Gemilang, di sini bersama tiga anak berusia 28, 30 dan 31 tahun dengan seorang daripada mereka orang kurang upaya (OKU) manakala suaminya, Musa Muhamad, 65, tidak dapat bekerja selepas menghidap kencing manis sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Mariam berkata, walaupun kehidupannya tidak mewah, dia bersyukur kerana tidak pernah ‘terputus’ bekalan makanan memandangkan dua anak perempuannya turut bekerja sebagai tukang cuci di Putrajaya dan Cyberjaya.

“Jualan yang saya dapat daripada kutipan barangan terbuang itu memanglah tidak banyak, namun setakat ini kami boleh meneruskan kehidupan hasil daripada rezeki yang diperoleh.

“Malah, saya, anak serta suami turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan dan ia sedikit sebanyak menampung perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya, di sini, semalam.

Selain itu, Mariam berkata, dia mencari barangan terbuang di sekitar rumahnya serta tidak boleh pergi terlalu jauh atas faktor kesihatan, selain tidak mampu berjalan jauh.

“Urusan di rumah akan diselesaikan terlebih dulu seperti memasak selain menguruskan suami serta anak lelaki kerana dia juga OKU dan kemudian, barulah saya mencari barangan terbuang seperti kertas atau kotak selain tin yang boleh dikitar semula.

“Suami saya sebelum ini bekerja sebagai penebar roti canai namun dia berhenti sejak beberapa tahun lalu atas sebab kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya.

Berhubung keadaan suaminya, Mariam berkata, selain penyakit kencing manis, Musa turut berdepan masalah buah pinggang dan perlu menjalani dialisis.

“Alhamdulillah, pihak Zakat Selangor menanggung kos rawatan ini dan mereka turut menyediakan kenderaan untuk membawa suami menjalani dialisis,” katanya.

Kisah kehidupan lima beranak itu mendapat perhatian Harian Metro menerusi Program #HMKotakRezeki2017 disampaikan Pengarang Berita Harian Metro Badrila Jamlus.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 017-3841604 (Fatimah) atau menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan nombor akaun 10160-29-
00005313-6 atas nama Othman Musa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 11:05 AM