MUSA  menunjukkan dinding rumahnya yang reput.
MUSA menunjukkan dinding rumahnya yang reput.

Sabak Bernam: “Duit makan pun tak cukup, apatah lagi naik baiki rumah usang ini,” kata warga emas, Musa Md Sidek, 66.

Tambah memilukan apabila dia menghuni rumah bertiangkan kayu reput dimakan anai-anai selain sebahagian tingkap hilang dan atap bocor di Jalan Panchang Bedena, Kampung Kita, di sini.

Musa yang menderita masalah penglihatan dan darah tinggi berkata, dia menetap bersama isteri, Saemah Johari, 61, dan seorang anak lelaki serta cucu angkat.

“Dinding rumah juga retak dan kami sekeluarga sentiasa bimbang jika roboh.

“Saya pernah ajukan masalah ini kepada pihak berwajib namun tiada bantuan diterima setakat ini. Saya bukan mahu rumah cantik atau besar, tetapi sekadar selamat dan selesa,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak mencukupi kerana menyara anaknya yang masih bersekolah.

“Meskipun bertongkat, saya dan isteri tetap berusaha menjual cendawan tiram.

“Alhamdulillah, kadang-kala dapat RM10 sehari dan sekitar RM300 sebulan tapi masih tidak cukup untuk kehidupan kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 0111-5032142.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 7:02 AM