Gelagat ‘superman’ oleh mat rempit yang dirakam di Lebuhraya Pantai Timur ( LPT).  - Foto Fail
Gelagat ‘superman’ oleh mat rempit yang dirakam di Lebuhraya Pantai Timur ( LPT). - Foto Fail
BERNAMA

POLIS Terengganu berjaya menggempur 17 sarang mat rempit sepanjang Ramadan bagi mengekang gejala sosial itu daripada terus berleluasa.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, sarang itu dikesan menerusi 29 operasi samseng jalanan bermula 2 Jun lalu, secara berperingkat di setiap daerah dan menerusi operasi itu, 644 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada remaja serta belia dan 12 motosikal disita.

"Lazimnya aktiviti ini dilakukan pada hujung minggu namun kita tidak mengira masa dan hari untuk menyekat aktiviti mereka terutama ketika umat Islam melakukan ibadat.

“Sesetengahnya sanggup datang dari daerah lain semata-mata untuk merempit dengan menunjukkan aksi berbahaya tanpa menghiraukan pengguna jalan raya dalam kumpulan yang ramai serta mencabar polis," katanya di sini, hari ini.

Menurut Aidi, sesetengah mereka yang ditahan juga didapati terbabit dalam salah guna dadah dan jenayah lain, termasuk ragut dan curi kenderaan.

Beliau berkata, lima lokasi panas aktiviti itu dikenal pasti di daerah Kuala Terengganu, antaranya Jalan Padang Midin, Jalan Sultan Mohamad, Jambatan Baru Pulau Sekati, persimpangan lampu isyarat Tok Molor hingga Jalan Tok Adis dan persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai.

"Di Dungun, dua lokasi dikenal pasti iaitu Jalan Dungun-Bukit Besi (susur masuk Lebuhraya Pantai Timur 2) dan Jalan Paka-Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) manakala Besut di Kampung Bukit Jerok dan Kampung Padang Luas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 10:28 PM