Sultan Nazrin berkenan melawat SMTDR selepas merasmikannya. FOTO BERNAMA
Sultan Nazrin berkenan melawat SMTDR selepas merasmikannya. FOTO BERNAMA
Mohd Hafizee Mohd Arop


SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Daerah Manjung dan Masjid Al-Badr Seribu Selawat di Teluk Gedong, Pangkor, hari ini.

SMTDR Daerah Manjung dibina dengan kos RM10 Juta dan siap sepenuhnya pada 2016, mampu menempatkan seramai 150 pelajar.

Ia adalah SMTDR pertama di negeri ini yang beroperasi manakala beberapa lagi SMTDR masih dalam pembinaan di daerah-daerah tertentu.

Masjid Al-Badr Seribu Selawat pula mula dibina pada 7 Mac 2014 dengan kos bernilai RM11.7 juta dan siap pada Oktober 2016.

Masjid terapung berkenaan diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan mengetengahkan seribu selawat dan identiti Perak pada setiap geometri hiasan dalaman di dindingnya.

Hadir sama, Zambry dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sultan Nazrin turut berkenan untuk melawat SMTDR dan Masjid Al-Badr Seribu Selawat selepas lafaz perasmian sebelum berbuka puasa bersama rakyat.

Baginda turut menunaikan Solat Maghrib, Isyak seterusnya Solat Sunat Terawih di masjid berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2017 @ 8:49 PM