Ular sawa sepanjang hampir empat meter ditemui anggota APM selepas dipercayai disembunyikan di tanah perkuburan di Kampung Cempaka 1, Likas, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Ular sawa sepanjang hampir empat meter ditemui anggota APM selepas dipercayai disembunyikan di tanah perkuburan di Kampung Cempaka 1, Likas, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terkejut apabila ular sawa yang hendak diambil selepas ditangkap penduduk kampung hilang dipercayai disembunyikan untuk dijual dalam kejadian di Kampung Cempaka 1, Likas, dekat Kota Kinabalu, 3.30 petang, hari ini.

Bagaimanapun selepas hampir sejam mencari dengan dibantu anggota polis akhirnya ular berkenaan ditemui disembunyikan di kawasan tanah perkuburan berhampiran kampung berkenaan.

Pegawai APM Kota Kinabalu Maxwell Panchai berkata, sepasukan anggota APM dikerah ke lokasi untuk menangkap ular berkenaan selepas menerima aduan.

"Pengadu memaklumkan seekor ular sawa masuk ke dalam rumahnya dan menelan seekor kucing lalu menghubungi APM.

"Anggota APM yang tiba di lokasi kejadian dimaklumkan ular itu sudah ditangkap oleh penduduk kampung tetapi hilang dipercayai disembunyikan.

"Anggota APM kemudian mencari dengan dibantu dua anggota polis dan selepas hampir sejam mencari ular itu akhirnya ditemui di dalam guni di tanah perkuburan di kampung berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ular sawa seberat hampir 35 kilogram kemudian dibawa balik ke pejabat APM Kota Kinabalu untuk diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 6:51 PM