Cook menyampaikan ucaptama pada WWDC (gambar atas). Antara produk terbaru yang dilancarkan termasuk perisian baru iOS 11, Dock aplikasi Files, pelbagai tugas dan penyepaduan Apple Pencil (bawah kiri) selain HomePod (bawah kanan). FOTO Agensi
Cook menyampaikan ucaptama pada WWDC (gambar atas). Antara produk terbaru yang dilancarkan termasuk perisian baru iOS 11, Dock aplikasi Files, pelbagai tugas dan penyepaduan Apple Pencil (bawah kiri) selain HomePod (bawah kanan). FOTO Agensi
Afiq Hanif


APPLE melancarkan beberapa inovasi baru termasuk perkakasan dan kemaskini perisian yang lebih segar.

Ketua Pegawai Eksekutif APPLE Tim Cook berkata, beberapa ciri baru diperkenalkan dalam usaha menambah baik perisian dan memperluaskan peranti baru termasuk iPad Pro saiz 10.5 inci.

“iPad Pro 10.5 inci dan 12.9 inci yang baru ini datang dengan teknologi ProMotion dan prestasi cip A10X Fusion yang menakjubkan,” katanya ketika membuka Kongres Pembangun Sedunia (WWDC) 2017 di San Francisco.

Lebih menarik, iPad Pro saiz baru itu mengurangkan sempadan antara skrin dan peranti sehingga 40 peratus.

Ia turut disediakan dengan kemaskini perisian baru iOS 11, Dock aplikasi Files, pelbagai tugas dan penyepaduan Apple Pencil bermakna ia memberi pengguna daya kreativiti dan bekerja lebih produktif.

iOS 11 baru pula menambah ratusan ciri bagi memberi pengalaman baru kepada pengguna iPhone dan iPad menjelang Ogos nanti.

Kemaskini perisian baru itu juga memberi lebih fungsi kepada pengguna iPad dengan aplikasi Files dan cara menggunakan Apple Pencil.

Nadi peranti, App Store turut menyaksikan perubahan apabila aksesnya kini lebih mesra dan mudah untuk meneroka aplikasi baru yang ingin dipindah turun.

Pentingnya, ciri aplikasi diberi nafas baru dengan penerangan terperinci, tip berguna dan pengumpulan aplikasi dicadangkan mengikut tabiat pengguna yang turut memaparkan pilihan lain pada dek.

Sehingga kini, lebih 180 bilion aplikasi dipindah turun di seluruh dunia untuk platform iOS.

HomePod menjadi gajet terbaru dalam senarai aksesori produk Apple yang beroperasi tanpa wayar untuk kualiti audio menarik disokong mikrofon berguna untuk berhubung dengan Siri.

Pembesar suara bersaiz tujuh inci terbabit membolehkan akses kepada Apple Music sekali gus pengguna berupaya mendengar 40 juta lagu tersenarai.

HomePod juga bertindak sebagai penerima arahan untuk menghantar mesej, mendapatkan berita terkini dan mengawal peranti pintar lain di rumah.

Ia akan dijual di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia terlebih dahulu pada Disember nanti.

Apple turut mengemaskini perisian watchOS untuk jam pintarnya dengan penambahan antaramuka, aktiviti, aplikasi latihan dan GymKit yang disesuaikan bersama peranti gim lain.

iMac Pro juga diperkenalkan dengan harga permulaan AS$4,999 (RM21,280.99) yang menjadi stesen kerja produktif kepada profesional yang memerlukannya.

Ia datang dengan paparan 27 inci Retina 5K, pemproseasan hingga 18 core Xeon selain grafik berkuasa 22 Teraflops.

Manakala iMac biasa pula datang dengan grafik yang tiga kali lebih pantas, Thunderbolt 3, storan pantas, paparan Retina lebih cerah dan berharga AS$1,299 (RM5,530).

Sementara itu MacBook dan MacBook Pro pula dikemaskini dengan pemprosesan Kaby Lake.

Turut diumumkan, macOS High Sierra yang menjadi versi baru sistem operasi desktop termaju dan ia boleh dikemaskini secara percuma bagi pengguna Apple menjelang Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 12:27 PM