Ridhatul Rizki


SERAMAI 405 penghuni sembilan pusat kebajikan di Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang, diberikan pakaian raya baru menerusi program Fabrik Kasih anjuran iM4U fm bersama Sunway yang berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya, hari ini.

Pengarah iM4U fm, Kartini Ariffin berkata, penganjuran tahun ketiga Fabrik Kasih ini bertujuan memberi kegembiraan dan meraikan golongan kurang bernasib baik.

"Kami merasakan satu kepentingan untuk memberikan kebahagiaan kepada golongan kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim.

“Bila kita kenang kembali zaman kanak-kanak kita, perkara paling seronok tentang raya adalah dapat baju raya baru. Itu yang kami cuba berikan kepada anak-anak yatim ini," katanya.

Katanya, koleksi pakaian raya ini disediakan oleh penuntut rekaan fesyen dari GIATMARA Malaysia dan Kolej Vokasional dibawah bimbingan tiga pereka fesyen tempatan seperti Tengku Syahmi, Zakwan Anuar dan Fuzana Mokhtaza.

"Program ini diteruskan untuk tahun ketiga bukan sekadar bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

“Pembabitan penuntut jurusan fesyen dalam program ini juga memberi peluang kepada mereka menyerlahkan bakat mereka dalam bidang fesyen," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Bahagian Pemasaran dan Komunikasi Sunway Group, Bernard Paul berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada program Fabrik Kasih.

"Ini kerjasama kedua Sunway dengan iM4U fm bagi program Fabrik Kasih. Kami merasakan kerjasama ini perlu diteruskan kerana ia memberi seribu makna kepada masyarakat terutamanya mereka yang memerlukan.

“Untuk tahun ini, kami bukan sekadar beri baju raya, malah bahagian Sunway Property dan Sunway Construction turut menjalankan kerja-kerja baik pulih di pusat kebajikan ini. Kami ingin menyediakan tempat tinggal yang selesa untuk mereka tidur, makan dan belajar," katanya.

Selain rumah anak yatim, program Fabrik Kasih turut memberi bantuan kepada pusat penjagaan warga emas dan pusat autisme.

Antara pusat kebajikan yang terlibat termasuk Pusat Jagaan Harian Warga Tua Cheras Baru, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Warga Miskin Parit (Bait Al-Amin), Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM Pulau Pinang) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 11:20 PM
Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M Hashim (tujuh dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik (11 dari kiri) bergambar bersama penerima pakaian raya di Majlis berbuka puasa dan iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 di Sunway Resort Hotel & Spa, Subang Jaya. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI
Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman M Hashim (tujuh dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif iM4U, Rudy Malik (11 dari kiri) bergambar bersama penerima pakaian raya di Majlis berbuka puasa dan iM4U fm Fabrik Kasih bersama Sunway 2017 di Sunway Resort Hotel & Spa, Subang Jaya. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI