SHAH Erwan (kiri) dan Andinor menunjukkan sijil penghargaan yang diterima. FOTO Aizat Sharif
SHAH Erwan (kiri) dan Andinor menunjukkan sijil penghargaan yang diterima. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


DUA anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima sijil penghargaan, hari ini atas tindakan menolak wang rasuah.

Koperal Shah Erwan Kasa @ Mansor, 37, dari Beseri, Perlis rakan setugasnya, Koperal Andinor Zabidin, 33, dari Alor Setar menolak wang rasuah RM1,290 yang ditawarkan ketika mengambil tindakan terhadap dua lelaki yang membawa poster pinjaman wang ceti haram atau ‘along’.

Mereka yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD Kuala Muda menyifatkan tindakan itu demi menjaga nama baik pasukan polis serta maruah diri mereka daripada terpalit dengan kegiatan yang tidak bermoral itu

Shah Erwan berkata, kejadian berlaku pada 2.20 petang 11 April lalu ketika mereka melakukan rondaan harian di sekitar pusat beli belah terkenal di Bandar Amanjaya, Sungai Petani.

“Ketika rondaan dilaklukan, kami ternampak dua lelaki dalam lingkungan usia 30an dalam kereta di tempat letak kereta di kawasan itu.

“Mereka berada dalam keadaan mencurigakan seperti sedang menunggu seseorang.

“Apabila kami memperkenalkan diri sebagai polis dan melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan lelaki berkenaan, kami mendapati terdapat banyak poster pinjaman wang ceti haram atau ‘Along’ dalam kereta lelaki berkenaan,” katanya.

Tambahnya, melihatkan pada poster yang sangat banyak, dia dan raknnya mengesyaki kedua-dua lelaki itu adalah ‘along’ yang menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen di kawasan Sungai Petani.

“Kami pun memberitahu kesalahan kedua-dua lelaki itu dan tiba-tiba seorang daripada lelaki itu cuba menawarkan wang rasuah kepada kami berjumlah RM1,290 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan keatas mereka.

“Saya dan rakan saya kemudian memberi amaran sebanyak tiga kali kepada lelaki itu untuk tidak cuba menyogok kami tetapi tidak diendahkan menyebabkan saya menahan kedua-dua lelaki itu dan menghubungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Shah Erwan berkata dia sudah 13 tahun manakala rakannya pula sudah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota polis tetapi inilah kali pertama mereka berdepan dengan kejadian seumpama itu.

Mereka menerima sijil itu daripada Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff di Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 dan Pemakaian Pangkat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 5:01 PM