Hamzah menunjukkan motosikal yang dirampas dalam serbuan itu. FOTO ihsan polis
Hamzah menunjukkan motosikal yang dirampas dalam serbuan itu. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS tahan lapan lelaki berusia antara 20 hingga 33 tahun yang terbabit dengan kejadian samun di sekitar Ampang Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menahan seorang suspek berusia 24 tahun di Jalan Youth, Kampung Baru Cina, pada 1.30 pagi.

"Penahanan suspek membawa kepada tangkapan tujuh lagi individu di kediaman masing-masing di sekitar daerah ini hasil daripada beberapa operasi bersepadu membanteras kejadian samun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas enam Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang di daerah ini dan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan samun termasuk tukul, pemutar skru dan spanar.

"Dengan penahanan suspek, polis dapat menyelesaikan lapan kes curi motosikal dan 10 kes samun serta ragut di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 7:57 PM