AHMAD Zahid ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi Menangani Kemiskinan Bandar. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
AHMAD Zahid ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi Menangani Kemiskinan Bandar. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


MESYUARAT Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi Menangani Kemiskinan Bandar, di Putrajaya hari ini memutuskan untuk mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar membabitkan pelbagai kementerian menerusi Strategi Lautan Biru (NBOS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama ini akan membabitkan pihak syarikat pasar raya dalam menyediakan bekalan makanan sejuk beku (frozen food) kepada golongan miskin tegar di bandar.

Beliau berkata, sekiranya program ini berjaya dilaksanakan, pendekatan ini boleh dikembangkan ke universiti awam dan swasta melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar-pelajar khususnya di bandar-bandar besar.

"Pelaksanaan program ini akan menggunakan bekas pelajar sebagai operator atau petugas," katanya dalam kenyataan sejurus mesyuarat berkenaan, hari ini.

Katanya, jawatankuasa juga menetapkan untuk melaksanakan beberapa program termasuk program pembangunan usahawan, meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam pada kadar yang munasabah, bantuan pengurusan kewangan, latihan kemahiran dan program mentoring.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 6:06 PM