AHMAD Bashah (kiri) menyampaikan anugerah Pingat Setia Sentiasa Berjuang kepada Kapten  (Bersara) G Muthusamy, semalam.
AHMAD Bashah (kiri) menyampaikan anugerah Pingat Setia Sentiasa Berjuang kepada Kapten (Bersara) G Muthusamy, semalam.

Alor Setar: Hampir 3,000 veteran tentera dan ahli keluarga mereka yang memerlukan bantuan di seluruh negara akan dibantu menerusi dana RM2.9 juta dikutip Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menerusi Tabung Hari Pahlawan (THP) sepanjang tahun lalu.

Timbalan Presidennya Datuk Sharuddin Omar berkata, jumlah kutipan itu meningkat berbanding RM2.45 juta pada 2015 susulan inisiatif tambahan diperkenalkan membabitkan pungutan secara dalam talian.

“Sepanjang tahun lalu, kita berjaya meningkatkan kutipan atas inisiatif baru dilaksanakan Kementerian Pertahanan iaitu mana-mana pihak yang berminat menyalurkan sumbangan boleh melakukannya secara dalam talian.

“Malah, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut memperkenalkan kaedah sama bagi kemudahan anggota mereka menyumbang kepada THP. Kita menerima banyak sumbangan daripada agensi swasta dan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan yang memberikan dana sehingga RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Persidangan Perwakilan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kedah kali ke-37, dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di sini, semalam.

Sharuddin berkata, sehingga kini data PVATM merekodkan 2,472 veteran tentera mengalami kecederaan dan kecatatan kekal ketika bertugas, sekali gus layak menerima sumbangan RM500 seorang.

“Kita memperuntukkan RM300 seorang kepada lebih 380 balu veteran tentera terlantar sakit selepas kematian suami mereka.

“Kita akan salurkan sumbangan berkenaan Ramadan ini dan mungkin ada penambahan jumlah penerima mengikut keadaan, namun yang pasti kita bela mereka,” katanya.

Beliau berkata, jumlah ahli PVATM berdaftar di seluruh negara kini 165,000 orang selepas proses pemutihan dilakukan iaitu mengesan ahli tidak aktif ataupun meninggal dunia.

“Sebenarnya, masih ramai golongan veteran yang tercicir daripada menyertai PVATM berikutan mereka tidak tahu faedah yang bakal dinikmati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 1:37 PM