TRAK makanan yang dirasmikan. FOTO Faris Zainuldin
TRAK makanan yang dirasmikan. FOTO Faris Zainuldin
Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM34 juta untuk pembangunan usahawan di Kelantan, tahun ini.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA negeri, Kamarul Zaman Mohamad berkata, daripada jumlah itu, RM2 juta akan dimanfaatkan untuk latihan keusahawanan membabitkan pelbagai cabang perniagaan.

Katanya, sehingga kini, MARA sudah membiayai lebih 80,000 usahawan Kelantan menerusi Skim Pembiayaan Keusahawanan.

"Kewujudan skim ini adalah untuk membantu usahawan Bumiputera yang berada di bandar atau luar bandar bergerak aktif dalam perniagaan yang diusahakan.

"Kini, MARA dalam proses meluluskan 12 permohonan pemilikan trak makanan daripada usahawan negeri ini yang menjadi satu trend perniagaan baru," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Pemilikan Trak Makanan di Kelantan yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abd Fattah Mahmood di Dataran Pasar Siti Khadijah, KotaBharu.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Datuk Zamri Ismail.

FOTO Fariz Zainuldin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 4:01 PM