Syed Amran  meneruskan jelajah busking di Banda Hilir, semalam.
Syed Amran meneruskan jelajah busking di Banda Hilir, semalam.
myMetro

Melaka: Penyanyi lagu berkonsep ketuhanan dan keamanan, Syed Amran Al-Yahya, 50, meneruskan siri jelajah nyanyian jalanan atau ‘busking’ amal ke negeri ini sebelum bergerak ke Terengganu pada 30 April depan.

Pemilik nama sebenar Syed Amran Syed Omar yang juga komposer berkata, projek bersama sukarelawan Irama Insan bertujuan menguar-uarkan kepada masyarakat bagi membantu pesakit kanser.

Menurutnya, program yang turut membabitkan penyanyi jalanan atau ‘busker’ tempatan, Effa Zappa dan bekas pesakit kanser, Faridah Muhamad yang menyampaikan puisi syahdu di Banda Hilir, di sini, meruntun jiwa penonton.

“Sebagai sukarelawan yang bergerak sendiri, kami sentiasa berusaha membantu mencari sumbangan untuk insan yang memerlukan.

“Sepanjang jelajah selama sehari, hampir RM500 dikumpulkan dan disumbangkan kepada penghidap kanser kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur,” katanya, di sini, semalam.

Syed Amran yang popular dengan lagu Selamat Malam Rohingya berkata, jelajah ‘busking’ mencari dana itu secara tidak langsung membuka mata masyarakat bahawa seniman jalanan juga mampu menyumbang kepada insan memerlukan.

“Kita tak mahu orang anggap seniman jalanan ini tiada faedah, sebaliknya jika kena dengan cara ‘busking’ mesej yang hendak disampaikan lebih mudah diterima pendengar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 11:14 AM