DIN melihat ladang ketam nipahnya yang terbiar selama tiga bulan akibat air laut surut di Kuala Perlis.
DIN melihat ladang ketam nipahnya yang terbiar selama tiga bulan akibat air laut surut di Kuala Perlis.
Aizat Sharif dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kuala Perlis: Jabatan Perikanan Perlis dan Jabatan Perhutanan Perlis merancang usaha bagi pemuliharaan semula hutan paya bakau di sekitar pesisiran pantai Kuala Perlis hingga ke Sanglang, dekat sini.

Langkah dilakukan bertujuan untuk memastikan masalah kepupusan populasi ketam nipah dan juga spesies hidupan air tawar lain dapat diatasi dalam jangka panjang.

Pengarah Perikanan Perlis Bakri Miswan berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perhutanan berkaitan kerjasama pemuliharaan flora dan fauna berkenaan.

“Pada bulan lalu kita merangka bersama jabatan berkenaan untuk mengadakan program penanaman semula bakau di sekitar kawasan pantai Kuala Perlis hingga ke Sanglang sebagai sumber pembiakan ikan dan mewujudkan kembali habitat ketam nipah ini.

“Dalam masa sama juga, Jabatan Perhutanan dijangka mendapatkan benih pokok bakau untuk penanaman semula dari daerah Larut-Matang di Perak dan selepas itu barulah kita akan melepaskan benih ketam nipah di kawasan paya bakau ini.

“Bagaimanapun, pada tahun ini terdapat kekangan dari segi kewangan menyebabkan pelepasan benih ketam nipah terpaksa ditangguhkan kerana peruntukan itu diberikan untuk pelepasan benih ikan seperti jelawat, baung, lampam dan juga udang galah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Bakri berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan peruntukan untuk pelepasan benih ketam nipah pada tahun depan bagi memastikan populasi hidupan itu dapat bertambah.

“Di Malaysia, tiada pengeluaran benih ketam nipah secara komersial sebaliknya ia hanya boleh didapati daripada penangkap atau penternak ketam nipah secara persendirian.

“Benih ini lazimnya daripada anak ketam nipah yang ditangkap dan kemudian dilepaskan ke kawasan paya bakau ini untuk pemuliharaan,” katanya.

Menurut Bakri, pihaknya tidak pernah merekodkan jumlah populasi ketam nipah di Kuala Perlis kerana jumlah pengeluaran atau tangkapannya agak kecil berbanding ketam laut yang menjadi pilihan nelayan.

“Ini tidak bererti kita tidak membantu terhadap nelayan yang diketahui menjalankan penternakan untuk memulihara populasi ketam nipah terutama di kawasan lembangan Sungai Perlis.

“Sektor perikanan termasuklah daripada spesies ketam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Perlis sebanyak 11 peratus dan agak tinggi selain sektor pertanian dan lain-lain.

“Sebagai contoh terdapat penternak ketam nipah seperti Din Abdullah yang berusia 73 tahun yang melakukan aktiviti penternakan itu sejak 2002 di kawasan ladang di lembangan Sungai Perlis.

“Walaupun, dia (Din) tidak menekankan soal komersial dalam penternakan itu, kita dapati langkah pemuliharaan spesies ketam nipah itu amat mengagumkan.

“Kita turut membantunya dengan memberi insentif antara RM1,500 hingga RM2,000 sebagai perangsang untuk dia meneruskan usahanya itu,” katanya.

Bakri memberi jaminan populasi ketam nipah belum boleh dikatakan terancam kerana ia bukan hidup di laut terbuka sebaliknya hanya berada di kawasan paya bakau ketika air pasang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:11 AM