ANGGOTA bomba menyelamatkan dua  jurulatih taekwando dan lima kanak-kanak di Bukit Broga.
ANGGOTA bomba menyelamatkan dua jurulatih taekwando dan lima kanak-kanak di Bukit Broga.
Nadzreen Shah Mat Salim

am@ hmetro.com.my

Semenyih: Keadaan gelap dan tidak mempunyai peralatan mendaki yang lengkap mengakibatkan lima kanak-kanak dan dua dewasa daripada sebuah Persatuan taekwondo terperangkap di Bukit Broga di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa lima kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun tidak dapat meneruskan perjalanan menuruni bukit itu berikutan keadaan cuaca dan laluan yang curam.

Difahamkan, kanak-kanak itu ditemani dua pengiring, Lydia Sheena, 19, dan Pesurai Rao, 26.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Zainal Elias berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.09 malam dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba segera bertindak melakukan operasi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di puncak salah satu bukit di lokasi berkenaan.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 18 minit untuk tiba di lokasi mangsa berada. Semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan hanya mengalami keletihan,” katanya.

Zainal berkata, salah seorang mangsa mendakwa mereka bimbang mahu menuruni bukit itu kerana khuatir tersesat di kawasan itu.

“Dua jurulatih kanak-kanak itu membuat keputusan menunggu pasukan penyelamat tiba di lokasi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 8:19 AM