myMetro

Kota Tinggi: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya gagal memotong sebuah lori pasir sebelum melanggar tayar belakang kenderaan berat itu dalam kejadian di Jalan Mawai-Kuala Sedili dekat Kampung Mawai Baru, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, Iqmal Abdul Samat (gambar), 18, mengalami pelbagai kecederaan sebelum dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, ketika menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 125Z ditunggang mangsa hilang kawalan dan melanggar tayar sebelah kanan bahagian belakang lori yang datang dari arah Mawai menghala ke Kuala Sedili itu.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusaha memotong lori yang tidak membawa muatan itu.

“Namun, oleh kerana terlalu rapat dan dalam keadaan laju, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh bahagian kanan tayar belakang lori berkenaan.

“Mangsa mengalami pelbagai kecederaan dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKT kira-kira jam 9.45 malam,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:12 AM