PASUKAN SAR berkumpul di kaki Gunung Nuang sebelum mencari mangsa.
PASUKAN SAR berkumpul di kaki Gunung Nuang sebelum mencari mangsa.
Nadzreen Shah Mat Salim

Kajang: Seorang pegawai kanan polis yang dilaporkan sesat ketika menuruni Gunung Nuang, Hulu Langat di sini, tengah hari kelmarin, ditemui selamat, jam 9.50 pagi semalam.

Terdahulu, dalam kejadian jam 12.50 tengah hari Senior Asisten Komisioner (SAC) Che Yusof Che Ngah, 57, meninggalkan dua anaknya, Nuramalin dan Luqman Hafifi di puncak Gunung Nuang untuk turun ke kaki gunung.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, mangsa mendaki Gunung Nuang bersama dua anaknya jam 7.30 pagi kelmarin dan tiba di puncak gunung sejam lebih awal.

“Mangsa tiba di puncak jam 11.45 pagi dan menunggu kedua-dua anaknya tiba. Kira-kira 10 minit selepas anaknya tiba ke puncak, mangsa memberitahu dia mahu turun ke kaki gunung.

“Kira-kira setengah jam kemudian, kedua-dua anak mangsa bergerak turun ke kaki gunung dan ketika dalam perjalanan, mereka mendakwa tidak berjumpa atau terserempak dengan mangsa,” katanya.

Menurut Othman, anak mangsa mendakwa mereka tiba di kaki gunung pada jam 7.15 malam dan mendapati mangsa tiada di kawasan berkenaan.

Othman berkata, pada jam 8.30 malam, anak mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dikirim bapa mereka yang mengatakan dia tersesat ketika mencari jalan turun ke kaki gunung.

‘Along, abah dah sesat. Abah sampai kem pengasih dan trek ke bawah bukan trek biasa.’ Itu mesej pertama mangsa kepada anaknya yang dikirim pada jam 2.26 petang, semalam (kelmarin).

“Mangsa turut menghantar mesej kedua pada jam 3.40 petang yang mengatakan ‘Abah ‘follow’ tanda merah di pokok turun bawah’,” katanya.

Othman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada jam 8 pagi semalam oleh 25 anggota pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat selain Unit K9.

“Mangsa ditemui jam 9.50 pagi tadi (semalam) dalam keadaan lemah. Mangsa tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:55 AM