ANTARA pelancong yang selamat tiba di jeti Mersing, Johor, semalam.
ANTARA pelancong yang selamat tiba di jeti Mersing, Johor, semalam.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Rompin: “Tiada kata mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini melainkan lega dan bersyukur kerana selamat sampai ke tanah besar. Dua hari terkandas di (Pulau) Tioman membuatkan kami sekeluarga resah,” kata Nurul Diana Dahari, 31.

Wanita itu antara 500 pelancong terkandas di Pulau Tioman, di sini, sejak Ahad lalu yang dibawa keluar secara berperingkat bermula jam 10 pagi semalam.

Nurul Diana berkata, walaupun sepanjang tempoh berkenaan dia tidak menghadapi masalah penginapan atau mendapatkan bekalan makanan, kebimbangan tetap timbul memandangkan mereka berada jauh daripada keluarga dan sukar untuk diakses.

Dia bersama suami, Mohd Fariq Ehsan Mustafa, 32, serta dua anak mereka yang tiba di pulau peranginan berkenaan pada Sabtu lalu sepatutnya pulang ke Ipoh, Perak pada Isnin namun terkandas berikutan perkhidmatan feri dihentikan sementara kerana cuaca buruk selain laut bergelora.

“Sebelum ke sini kami sudah menghubungi tempat penginapan dan bertanya mengenai keadaan cuaca dan dimaklumkan keadaan cuaca baik dan sesuai untuk bercuti.

“Namun tidak sangka pula ini yang berlaku, bagaimanapun saya menganggap ia pengalaman, mujur anak kami tidak merungut dan meragam,” katanya.

Semua mereka yang terdiri daripada pelancong tempatan dan asing dibawa keluar menaiki feri milik Bluewater Express ke jeti Mersing, Johor.

Sebahagian lagi pelancong dibawa menaiki Kapal KD Terengganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan.

Seorang lagi pelancong Abdul Ifwad Mohamad Ruslee, 27, berkata perkara pertama dilakukan apabila tiba di jeti Mersing adalah mendapatkan bekalan makanan untuk anaknya yang berusia tujuh bulan.

Katanya, bekalan makanan anaknya, Aira Sofea habis kerana dia hanya menjangka berada di pulau berkenaan selama dua hari dan hanya membawa bekalan makanan itu secukupnya.

“Sepanjang terkandas, Aira hanya bergantung kepada susu badan isteri dan kasihan melihatnya merengek kelaparan, syukur akhirnya kami keluar dari pulau berkenaan.

“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu untuk mengeluarkan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Bluewater Express Mohammad Syafiq Farhan berkata, keadaan cuaca yang tenang berbanding hari sebelumnya membantu melicinkan proses membawa keluar pelancong berkenaan.

Katanya, keadaan terkawal dengan pelancong memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses berkenaan.

“Sebelum ini, kita terpaksa menghentikan sementara perkhidmatan feri kerana laut bergelora, keadaan itu menimbulkan rungutan dan kemarahan segelintir pelancong .

“Mujur hari ini (semalam) semuanya berjalan lancar dan keadaan laut serta ombak juga tidak seteruk semalam (kelmarin),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 8:33 AM