SEBAHAGIAN pelancong yang terkandas di Jeti Mersing untuk ke Pulau Tioman  berikutan  cuaca buruk dan ombak besar sejak Ahad lalu.
SEBAHAGIAN pelancong yang terkandas di Jeti Mersing untuk ke Pulau Tioman berikutan cuaca buruk dan ombak besar sejak Ahad lalu.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Rompin: “Bekalan makanan anak sudah habis kerana menjangka hanya berada di pulau ini selama dua hari, tidak tahu pula akan terkandas di sini. Puas saya mencari makanan bayi di sini namun tiada satu pun kedai menjualnya.

“Anak saya kini hanya bergantung kepada susu badan namun dia sering merengek kerana lapar,” kata Abdul Ifwad Mohamad Ruslee, 27.

Dia seorang daripada kira-kira 500 pelancong yang terkandas di Pulau Tioman, di sini, berikutan cuaca buruk dan ombak besar sejak Ahad lalu.

Dia ke pulau peranginan itu untuk bercuti bersama isterinya, Nor Shalina Abd Wahid, 27, serta anak mereka, Aira Sofea yang berusia tujuh bulan pada Sabtu lalu.

“Oleh kerana percutian hanya untuk dua hari, kami hanya membawa barang keperluan termasuk makanan bayi secukupnya, tidak jangka pula berdepan keadaan sebegini.

“Sebelum ini, saya sudah beberapa kali bercuti ke pulau ini namun ini adalah kali pertama berdepan keadaan sebegini, tidak tahu berapa lama lagi kami akan terkandas di sini,” katanya.

Abdul Ifwad berkata, mereka menaiki feri dari jeti Mersing, Johor dan ketika itu langsung tidak dimaklumkan mengenai keadaan cuaca yang buruk sebaliknya jadual perjalanan feri berjalan seperti biasa.

Katanya, namun apabila tiba di pulau peranginan berkenaan ada pelancong lain memaklumkan laut bergelora sejak Jumaat lalu dan lebih teruk.

“Mereka mendakwa ada kejadian air laut memasuki feri sehingga paras buku lali.

“Saya kesal kerana pihak pengusaha feri tidak memaklumkan terlebih dulu kepada kami, jika mengetahui lebih awal sudah tentu saya akan membatalkan percutian ini kerana tidak mahu perkara buruk berlaku.

“Saya sudah beberapa kali menghubungi pengusaha bot dan mereka hanya meminta kami supaya bersabar sementara keadaan cuaca bertambah baik, mereka juga memberitahu jika esok (hari ini) ada feri yang akan ke Tioman, mereka akan membawa keluar pelancong yang terkandas,” katanya yang bekerja sebagai jururawat di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa perairan seluruh negara termasuk Pulau Tioman dan keadaan diramal berlarutan sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Tekek Zulkarnain A Hamid berkata, dia bimbang jika keadaan berlarutan bekalan bahan basah akan terputus berikutan jumlah pelancong yang terkandas di pulau itu ramai.

Katanya, sehingga kini keadaan masih terkawal walaupun segelintir pelancong terutama pelancong asing merungut berikutan tidak dapat keluar dari pulau itu.

“Difahamkan ada pelancong yang menempah tiket penerbangan dan juga tempat penginapan lain, apabila berlaku keadaan sebegini mereka terpaksa menanggung kerugian.

“Namun, tiada apa yang dapat dilakukan buat masa ini memandangkan perkhidmatan feri dihentikan sementara, soal cuaca bukan sesuatu yang dapat kita jangka,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha feri Bluewater Express memaklumkan terpaksa menggantung seketika perkhidmatan feri mereka sehingga cuaca baik.

Pengurus Operasinya, Mohammad Syafiq Farhan berkata, tindakan itu diambil kerana keadaan laut bergelora berisiko mendatangkan kerosakan kepada feri selain mengancam keselamatan penumpang.

“Kita sedar penumpang terutama yang berada di Pulau Tioman merungut dan marah apabila kita mengambil tindakan ini, namun kita tidak mahu mengambil mudah kerana ia bersangkut-paut dengan nyawa mereka.

“Walaupun Jabatan Meterologi (Malaysia) meramalkan keadaan ini berlarutan sehingga Jumaat, kita akan memantau keadaan semasa, jika bertambah baik kita akan meneruskan semula operasi seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohammad Syafiq berkata, kejadian sama pernah berlaku ketika perayaan Tahun Baru Cina, baru-baru ini yang membabitkan kira-kira 400 pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 5:09 AM