ANGGOTA memadam kebakaran di Kampung Pak Madah.
ANGGOTA memadam kebakaran di Kampung Pak Madah.

Marang: “Walaupun api marak membakar dinding dan siling rumah, saya nekad merempuh untuk keluar bagi menyelamatkan diri,” kata Mohammad Mohd Arshad, 45, penghuni rumah yang terbakar di Kampung Pak Madah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.23 pagi, Mohammad yang tinggal bersendirian
di rumah berkenaan mengalami kerugian RM200,000 apabila kediaman pusaka peninggalan nenek itu musnah.

Walaupun sedih kehilangan tempat tinggal, dia bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan ketika meredah api untuk keluar menyelamatkan diri.

Menceritakan detik kejadian, Mohammad berkata, sebelum kejadian dia menonton televisyen dan tidur selepas menelan ubat jam 12 tengah malam.

“Saya terjaga selepas terasa panas di hujung kepala sebelum menyedari rumah terbakar dan segera mencampakkan beberapa helai pakaian menerusi tingkap sebelum ke rumah abang, Md Zain Arshad, yang terletak kira-kira 50 meter untuk meminta tolong.

“Saya hanya sempat menyelamatkan motosikal, tetapi barangan lain seperti peralatan elektrik, televisyen, peti sejuk semua hangus,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut Mohammad, semua mesin yang digunakan untuk membuat perabot juga termasuk beberapa kabinet dapur yang ditempah pelanggan hangus.

Sementara, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Suriati Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 5.23 pagi semalam.

“Sebuah jentera bomba bersama 10 anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kebakaran daripada orang awam,” katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati keseluruhan kediaman separuh kekal itu sudah musnah dan usaha memadamkan kebakaran dilakukan segera bagi mengelaknya merebak ke rumah berhampiran.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan antara RM150,000 hingga RM200,000,” katanya.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat, Saiful Bahri Baharuddin yang melawat tempat kejadian berkata, sebuah rumah dengan anggaran kos RM40,000 itu akan dibina secepat mungkin di atas tanah milik keluarga mangsa di kampung berkenaan.

“Saya sudah berhubung dengan Pejabat Daerah Marang dan mereka bersetuju membina rumah berkenaan secepat mungkin,” katanya.

Saiful Bahri turut menghulurkan sumbangan wang tunai selain sumbangan keperluan diri dan barangan dapur oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini untuk meringankan beban mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:40 AM