HARGA barangan basah di pasar utama naik sehingga RM10.
HARGA barangan basah di pasar utama naik sehingga RM10.
Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Harga barangan basah terutama ayam, udang putih dan sotong yang dikatakan masih tidak stabil sepanjang sambutan Tahun Baru Cina ini.

Tinjauan Harian Metro di pasar basah sekitar ibu kota seperti Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Taman Tun Dr Ismail dan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor mendapati orang ramai tidak berpuas hati dengan harga barang basah itu kerana mengalami peningkatan RM1 sehingga RM10.

Harga ayam bersih dijual pada harga RM8 hingga RM8.50 sekilogram, udang putih (RM30 hingga RM36), ikan kembung (RM20) dan bawal hitam (RM32).

Turut mengalami peningkatan harga secara mendadak ialah sotong putih apabila ia dijual RM30 hingga RM36 sekilogram bergantung kepada saiz, namun kebanyakan pasar berdepan kekurangan bekalan sotong.

Peniaga ikan, Sobri Yaakub, 38, berkata, bekalan udang dan sotong berkurangan, malah dia tidak menerima stok sotong, semalam.

“Kebanyakan penjual ikan di sini tidak mendapat bekalan sotong. Hanya beberapa gerai saja yang menjual.

“Cuaca yang tidak menentu antara punca nelayan tidak turun ke laut untuk menangkap sotong. Bekalan sotong dijangka terjejas seminggu selepas Tahun Baru Cina,” katanya.

Peniaga yang mahu dikenali Rohmat pula berkata, harga udang putih didapati tidak stabil sejak seminggu lalu dan mengalami kenaikan sehingga RM10.

“Pembekal beritahu yang stok udang berkurangan disebabkan faktor cuaca sekarang menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga.

“Ramai pembeli merungut harga udang terlampau mahal daripada kebiasaan yang dijual antara RM18 sehingga RM20 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Sobiri Hasbullah berkata, dia terpaksa meningkatkan harga ayam sehingga 50 sen berikutan peningkatan harga ayam di pihak pembekal.

“Kami tak boleh nak buat apa-apa kerana bila pembekal naikkan harga, kami terpaksa ikut naikkan harga.

“Jika tidak kami akan rugi, selain pembekal memberi alasan bekalan ayam kurang kerana ada peladang bercuti panjang sempena Tahun Baru Cina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 8:31 AM