ANJUNG Singgah Kuala Lumpur simpan pelbagai kisah.
ANJUNG Singgah Kuala Lumpur simpan pelbagai kisah.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: “Dia bukan sahaja bekas klien di Anjung Singgah, malah mentor kepada penghuni di sini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Rafek Reshidullah yang mengesahkan Ramli pernah menghuni di Anjung Singgah Kuala Lumpur.

Beliau berkata, Ramli adalah seorang yang berdisiplin, bersikap positif dan mempunyai usaha yang kuat untuk berubah sepanjang berada di rumah itu kira-kira setahun lalu.

Katanya, Ramli yang masih berhubung dengan pihaknya menjadi mentor dalam program kaunseling diadakan bagi memupuk semangat kepada klien yang baru menghuni Anjung Singgah.

“Ramai yang masih tidak faham bahawa Anjung Singgah menempatkan golongan tidak bernasib baik yang mempunyai kemahuan untuk berubah dan akan keluar dari sini dengan membawa kejayaan.

“Salah seorangnya adalah Ramli yang mana dia datang ke sini tanpa sebarang pekerjaan dan berjaya meninggalkan Anjung Singgah dengan pekerjaan selesa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan seorang gelandangan yang mahu dikenali sebagai Ramli, 50, mendedahkan dia memiliki ijazah sarjana muda dalam pentadbiran perniagaan dan pernah menjadi ketua pegawai eksekutif di hotel eksklusif.

Bagaimanapun, Ramli memilih menjadi pengawal keselamatan dan hidup bergelandangan selepas berhijrah ke ibu kota serta mendakwa dia menemui jalan hidup yang sempurna.

Menurut Rafek, Ramli seorang yang merendah diri serta berpelajaran namun dia enggan mendapatkan pekerjaan lebih profesional kerana selesa dengan kehidupannya sekarang sebagai pengawal keselamatan.

“Selain Ramli, ramai klien di Anjung Singgah yang keluar dari sini mendapat pekerjaan yang bagus seperti pegawai bank, penyelia restoran dan pengurus.

“Kami tidak menghalang klien kami memilih pekerjaan kerana mereka berhak memilih kehidupan yang mereka rasa betul dan selesa,” katanya.

Menurutnya, Anjung Singgah kini mempunyai lima cawangan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Perak yang menyimpan pelbagai kisah di sebalik kejayaan bekas penghuni di situ selepas mengikuti program dijalankan.

Katanya, bagaimanapun klien yang memohon untuk menghuni di situ perlu memenuhi syarat yang ditetapkan terutamanya mempunyai komitmen dan usaha untuk bekerja.

Sementara itu, sebuah hotel di selatan tanah air mengesahkan Ramli pernah berkhidmat di tempat penginapan berkenaan sebagai ketua pegawai eksekutif pemasaran dari 2009 hingga 2012.

Jurucakap bahagian pemasaran hotel itu berkata, Ramli berkhidmat sebagai pegawai kanan keselamatan sebelum ditukarkan ke bahagian pemasaran apabila mengetahui dia mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang perniagaan.

“Berdasarkan rekod prestasi penilaian majikan, dia seorang yang berpotensi menguruskan bahagian jualan dan pemasaran namun hanya bertahan dua tahun.

“Ketika hotel melaksanakan kerja baik pulih bangunan pada 2012, ramai pekerja termasuk Ramli membuat keputusan meninggalkan hotel dan berkhidmat di tempat lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 6:51 AM