Khairul Najib Asarulah Khan


Seremban: Melihat kesukaran ibu menebar roti canai membuatkan seorang gadis, Nordiyana Hussein nekad mempelajari ilmu terbabit hinggalah dia mendapat gelaran penebar roti canai anak dara.

Kerajinannya membuatkan gadis berusia 24 tahun mampu menebar 100 roti canai setiap pagi di warung Serindu Rasa milik keluarganya di Jalan Kursiah Sikamat, di sini.

Berkongsi kisah itu, Nordiyana berkata, warung itu beroperasi sejak 2011 dengan ibunya, Noriah Abdul Samad, 54, menebar roti canai untuk menyara keluarga bersama bapa, Hussein Ibrahim, 61.

Katanya, bapanya kurang mahir menebar roti canai menyebabkan ibu mengambil alih tugas berkenaan sepanjang hari.

“Kadang-kala saya melihat ibu keletihan hingga lenguh tangan. Namun, dia tidak pernah merungut atau mengadu kerana tidak mahu anaknya risau.

“Disebabkan itu, saya mempelajarinya walaupun kurang minat demi meringan beban kerja ibu yang usia semakin lanjut.

“Kini, sudah tiga tahun saya menebar roti canai hingga penduduk menggelar roti canai kami sebagai roti canai anak dara,” kata anak kedua dari lima beradik ini.

Penuntut Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong, Rembau jurusan Sijil Lukisan Senibina itu menyatakan hasrat mahu meneruskan perniagaan warisan keluarganya itu.

Nordiyana berkata, setakat ini, hanya dia dan adiknya, Nor Amira Hussein, 22, memiliki kemahiran menebar roti canai di warung itu.

“Disebabkan Nor Amira masih menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu, dalam jurusan Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan), jadi saya menggantikan ibu.

“Saya bercadang mahu mempelajari cara menguli tepung roti di samping memperluaskan perniagaan ini,” katanya yang mempunyai kembar lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 5:31 AM