MANGSA menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
MANGSA menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: Sanggup putus jari kelengkeng semata-mata mahu menyelamatkan wang berjumlah RM110.

Itu nasib malang dialami seorang wanita berusia 40 tahun selepas diserang dua lelaki dalam kejadian samun di Bandar Country Homes, di sini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam kelmarin, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum dihampiri dua lelaki.

Sumber berkata, suspek mengugut mangsa menyerahkan beg sandangnya namun mangsa enggan menyebabkan penjenayah berang lalu menyerangnya dengan pisau.

“Mangsa yang cedera di tangan kanan itu kemudian menjerit meminta tolong. Jeritannya itu menyebabkan anjing milik salah seorang penduduk di kawasan perumahan berhampiran menyalak.

“Pemilik rumah yang mendengar salakan anjingnya itu keluar untuk meninjau keadaan sebelum menemui wanita itu dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Serangan itu mengakibatkan mangsa putus jari kelengkeng tangan kanannya manakala tangan kanannya patah

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada bibir dan lengan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan keterangan mangsa, kedua-dua suspek itu dipercayai warga asing berdasarkan fizikal dan pertuturan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti identiti kedua-dua penjenayah berkenaan.

“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 10:19 AM