ABDUL Azeez  (kanan) melawat Zarina  di Kampung Lalang, Siong, Baling.
ABDUL Azeez (kanan) melawat Zarina di Kampung Lalang, Siong, Baling.
Safuri Kamarudin


Baling: Walaupun sedar harapan untuk sembuh daripada kanser mulut tahap empat dihidapinya agak tipis namun seorang wanita tidak berputus asa untuk meneruskan rawatan demi meneruskan sisa-sisa hidupnya.

Zarina Jusoh, 45, yang menetap di Kampung Lalang, Mukim Siong, di sini, nekad meneruskan rawatan itu sejak dua tahun lalu walaupun terpaksa menahan kesakitan namun demi suami dan anak-anak dia kuatkan semangat.

Menurutnya, dia sudah menjalani pembedahan di rahang kanan sebanyak tiga kali namun masih tidak menunjukkan sebarang perubahan positif, malah kanser itu semakin merebak.

“Kanser ini mula menyerang saya sejak lima tahun lalu bermula dengan benjolan kecil di bawah rahang kanannya sebelum semakin membesar sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Baling sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

“Malah, ketika melakukan pembedahan pada 2014, doktor terpaksa membuang tulang rahang kerana bimbang ia menjangkiti ke otak,” katanya ketika ditemui selepas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim melakukan lawatan ke rumahnya, semalam.

“Saya juga semakin bimbang apabila terdapat pula satu benjolan baharu di sebelah rahang kiri sejak enam bulan lalu sehingga menyukarkannya untuk makan dan hanya bergantung kepada minum susu serta bubur nasi,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan dengan menghubungi Abdullah Ahmad di talian 019-5072796.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 9:54 AM