Lakshmi  (kanan) bersama suaminya, Ramachandran Naidu menunjukkan tempatnya   disamun.
Lakshmi (kanan) bersama suaminya, Ramachandran Naidu menunjukkan tempatnya disamun.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Seorang pengarang akhbar New Straits Times mengalami detik cemas apabila disamun seorang lelaki ketika berada di halaman rumahnya di Taman Kok Lian, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa berusia 74 tahun terbabit mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM1,000 selepas penjenayah mengacukan pisau dan meragut rantai lehernya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kejadian berlaku sewaktu mangsa menyidai pakaian di halaman rumah.

Katanya, mangsa secara tiba-tiba didekati seorang lelaki bermotosikal.

“Difahamkan suspek pada mulanya berpura-pura bertanyakan galah untuk mengambil mangga di halaman rumah jiran berhampiran.

“Bagaimanapun, mangsa tidak membenarkan suspek meminjam galahnya kerana lelaki itu tidak meminta kebenaran pemilik pokok berkenaan. Pada masa sama suami mangsa turut menutup pintu pagar rumah mereka,” katanya.

Katanya, suspek bertindak ganas dengan menolak pintu pagar rumah mangsa hingga terbuka sebelum mengeluarkan pisau.

Munusami berkata, suami wanita terbabit cuba menghalang suspek namun gagal selepas ditolak lelaki itu hingga terjatuh.

Katanya, suspek mengacukan pisau ke leher wanita terbabit sebelum merentap rantai leher dan melarikan diri.

“Kejadian menyebabkan mangsa itu cedera. Susulan kejadian itu, mangsa bersama suami tampil membuat laporan di Balai Polis Jinjang, di sini.

“Siasatan lanjut bagi mengesan suspek sedang dilakukan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 8:58 AM