ANTARA makanan yang disiapkan untuk disumbangkan.
ANTARA makanan yang disiapkan untuk disumbangkan.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Gelandangan dan golongan kurang bernasib baik di ibu kota tetap meraikan kemeriahan sambutan tahun baru selepas KPJ Healthcare University College (KPJUC) Nilai mengadakan program Heroes for the Homeless (H4H).

Program dengan kerjasama Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL) yang diadakan di Jalan Panggung, di sini, sekali gus membuka mata mereka yang bernasib baik melalui perspektif yang berbeza.

KPJUC dalam satu kenyataan berkata, objektif program itu bagi meningkatkan kesedaran kebersihan diri dalam kalangan warga miskin kota dengan mengagihkan kit kebersihan serta penjagaan diri yang lengkap.

“Kami memberi mereka tuala, sabun mandi, ubat gigi, berus gigi, syampu, pencuci muka, selipar, bedak talkum, pencuci peribadi wanita dan beberapa alat penjagaan diri.

“DJKL yang ditubuhkan sejak 2013 pula berperanan memberi kesedaran kepada orang ramai supaya boleh berkongsi makanan dengan kumpulan miskin kota yang dilihat sebagai satu entiti yang sangat memerlukan bantuan untuk terus hidup di tengah bandar raya,” katanya dalam kenyataan itu, semalam.

Menurutnya, DJKL adalah kelompok anak muda dari Kelab Bangsar Utama yang menyediakan makanan percuma kepada warga miskin di Jalan Panggung pada setiap Ahad sekitar jam 5 petang.

Katanya, ahli DJKL turut mempunyai jaringan sukarelawan di Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah yang aktif dalam operasi membantu kumpulan kurang bernasib baik.

“Bantuan melalui makanan memberi ruang positif terhadap gelandangan yang membabitkan pelbagai kaum dan latar belakang di sebalik masalah kewangan serta pandangan sosial yang dihadapi mereka.

“Mentaliti orang ramai terutama di ibu kota melihat gelandangan sebagai warga yang tidak bekerja, pemalas dan pengotor sedangkan warga miskin kota ini patut dibantu dan dipulihkan 100 peratus,” katanya.

Menurutnya, pembabitan KPJUC Nilai dalam usaha memberi makanan kepada warga miskin kota, sekali gus membangkitkan kesedaran pelajar dan tenaga pengajar di institusi pengajian berkenaan.

Katanya, meskipun isu gelandangan mendapat kecaman ramai baru-baru ini, kegiatan amal masih diteruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu golongan tidak berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 8:35 AM