ROZITA  ketika di Mahkamah Petaling Jaya.
ROZITA ketika di Mahkamah Petaling Jaya.
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya: Seorang suri rumah bergelar Datin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan cuba membunuh pembantu rumah warga Indonesia berusia 19 tahun menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, batang mop dan payung hingga mangsa cedera parah, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, minggu lalu.

Tertuduh, Rozita Mohamad Ali, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Suyanti Sutrinso hingga menyebabkan cedera pada kedua-dua mata, tangan dan kaki, organ dalaman, pendarahan beku di bawah kulit kepala, bintik-bintik pendarahan di hadapan otak, patah tulang rahang, pipi serta belikat kiri selain cedera di paru-paru sebelah kanan mangsa. Kecederaan yang boleh yang menyebabkan kematian itu didakwa dilakukan di No 62, Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, antara jam 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Disember lalu.

Dakwaan kes terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara 20 tahun dan jika cedera, dihukum dengan hukuman mati, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Rozita memohon mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya menghidap penyakit saraf dan lelah yang memerlukan pengambilan ubat setiap hari.

“Selain itu, anak guam saya juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mendekati saksi sepanjang perbicaraan kes ini.

Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah sepanjang kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Februari ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:44 AM