DR Zaini (kanan) menandatangani plak perasmian sambil  diperhatikan Dr Wahid  (tiga dari kiri) pada majlis perasmian UTM Eco-Home
DR Zaini (kanan) menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Dr Wahid (tiga dari kiri) pada majlis perasmian UTM Eco-Home

Johor Bahru: Sekumpulan penyelidik dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini, berjaya membina sebuah rumah pintar lestari dikenali UTM Eco-Home.

Pengarah Kanan Institut Infrastruktur Pintar dan Pembangunan Inovatif (ISIIC) UTM Profesor Dr Muhd Zaimi Abd Majid berkata, pihaknya bersama Pusat Penyelidikkan Pembangunan (UTM-CRC), Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) dan Pusat Sistem Tenaga Elektrik (CEES), terbabit dalam pembinaan UTM Eco-Home.

“Projek UTM Eco-Home adalah kesinambungan daripada penyertaan UTM dalam Solar Decathlon China (SDC2013) yang diadakan di Datong, China dan hasilnya informasi serta teknologi berkaitan seperti pembinaan rumah solar, ICT dan teknologi rumah pintar dapat dikongsi serta disebarkan kepada masyarakat umum.

“Berkeluasan 1,450 kaki persegi, UTM Eco-Home mengambil masa kira-kira setahun untuk dibina dengan menggunakan peruntukan hampir RM500,000,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran UTM Eco-Home disempurnakan Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Hadir sama, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Wahid Omar.

Muhd Azmi yang mengetuai kumpulan itu berkata, UTM Eco-Home direka bentuk dan dibina dengan ciri lestari, lengkap dengan teknologi rumah pintar serta penggunaan sistem tenaga diperbaharui.

“UTM Eco-Home dibina menggunakan interlocking block dan konkrit bertetulang. Namun begitu, sebahagian struktur binaan UTM Eco-Home dibina dengan menggunakan produk hasil penyelidikan UTM antaranya adalah Innovative Modular Pad Footing System dan Eco-Crete.

“Bahan binaan ini berkualiti tinggi, mesra alam, mampan dan memerlukan kos yang berpatutan,” katanya UTM Eco-Home turut menggunakan teknologi Fast Track Wall System (FTW).

Beliau berkata, penggunaan sistem FTW berupaya untuk mengurangkan 50 peratus masa pembinaan dan 10 hingga 15 peratus kos pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2016 @ 11:08 AM