ANTARA waris keturunan Datuk  Jenaton Labu yang hadir dalam majlis perjumpaan, semalam.
ANTARA waris keturunan Datuk Jenaton Labu yang hadir dalam majlis perjumpaan, semalam.

Shah Alam: Pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada tokoh, Datuk Jenaton Labu yang bertanggungjawab membuka penempatan di Batu Uban, Pulau Pinang pada zaman terdahulu.

Pengiktirafan seperti menamakan jalan bersempena namanya dilihat perlu kerana beliau seorang pemimpin, penghulu dan ahli istana Pagaruyung.

Presiden Persatuan Keluarga Datuk Jenaton Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, walaupun umum mengetahui sejarah pembukaan Pulau Pinang oleh Sir Francis Light pada 1786, namun Datuk Jenaton dan tiga pemimpin lain terlebih awal membuka pulau mutiara itu.

“Kami mahu pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada Datuk Jenaton termasuk tiga yang lain iaitu Muhammad Salleh atau Nakhoda Nan Intan, Nakhoda Kechil dan Datuk Setia yang juga adik ipar Jenaton.

“Inggeris bukan yang terawal datang ke Pulau Pinang atau dahulunya dikenali sebagai Tanjung. Namun, Datuk Jenaton bersama tiga nakhoda lain datang dan membuka penempatan Batu Uban,” katanya yang juga wakil waris bagi generasi keenam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Keluarga Datuk Jenaton ketujuh di INTEKMA, di sini, semalam.

Lebih 300 keturunan Datuk Jenaton merangkumi generasi keempat hingga ke-10 dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei berkumpul bagi mengenali salasilah.

Pada majlis itu, sebuah buku bertajuk ‘Batu Uban Sejarah Awal Pulau Pinang’ ditulis Ahmad Murad berhubung sejarah keluarga Datuk Jenaton dan politik warisan Pulau Pinang turut dilancarkan.

Menurut Ahmad Murad, pihaknya tidak berniat mempertikai sejarah Malaysia mengenai Sir Francis Light, tetapi menolak naratif yang menyatakan dia membuka pulau berkenaan.

Dalam pada itu, kata beliau, kepentingan mencari salah silah keluarga dan keturunan amat penting bagi mengetahui susur galur serta khazanah keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 9:39 AM