AHMAD Zahid merasmikan buku Memperkasa Generasi Penghafaz Al-Quran sambil disaksikan Dr Asyraf Wajdi (dua dari kiri) dan Othman (kiri) di ILIM, Bangi, semalam.
AHMAD Zahid merasmikan buku Memperkasa Generasi Penghafaz Al-Quran sambil disaksikan Dr Asyraf Wajdi (dua dari kiri) dan Othman (kiri) di ILIM, Bangi, semalam.
BERNAMA

Bangi: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan RM35 juta bagi tujuan pembangunan dan pembinaan prasarana kampus induk Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Beliau berkata, kemudahan bangunan pengajian dan penginapan pelajar yang terhad menyaksikan hanya kira-kira 150 hingga 250 pemohon diterima memasuki Darul Quran, sedangkan permohonan kemasukan mencecah ribuan orang setahun.

“Ini bukan disebabkan pemohon atau calon tidak mencapai tahap dikehendaki, tetapi kapasiti bangunan asrama dan bangunan akademik yang terhad.

“Sehubungan itu, sempena sambutan Jubli Emas Darul Quran, saya mengumumkan peruntukan pembinaan prasarana bagi menampung kemudahan bangunan serta penginapan pelajar,” katanya ketika merasmikan Simposium Tahfiz Al-Quran Peringkat Antarabangsa sempena sambutan jubli emas Darul Quran Ke-50 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Seri Othman Mustapha.

Menyedari kekecewaan ibu bapa apabila anak mereka tidak berpeluang meneruskan pengajian di bidang tahfiz, Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberikan peruntukan itu dengan harapan ia dapat memperkasakan institusi tahfiz sehingga menjadi hab pendidikan tinggi tahfiz.

“Selain itu, saya juga berazam menjadikan Darul Quran sebuah universiti penuh suatu masa nanti, sekali gus menjadikan pengajian tahfiz lebih terbuka dan inklusif, bukannya eksklusif kepada mereka yang berada dalam pengkhususan bidang agama sahaja,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) kepada 33 penerima pangkat mumtaz, satu pengiktirafan kepada individu yang menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta tidak memperoleh pengiktirafan dari mana-mana institusi.

STM kini diterima pakai sebagai dokumen sokongan bagi permohonan guru tahfiz Kementerian Pendidikan dan Skim Pembiayaan Hafiz yang ditawarkan Jakim.

Sejak diperkenalkan pada 2011, pemegang STM kini 468 orang.– BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 9:14 AM