WANITA yang ditahan di sebuah pusat hiburan sekitar ibu kota.
WANITA yang ditahan di sebuah pusat hiburan sekitar ibu kota.
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan ada pemilik premis hiburan sekitar ibu kota mengupah khidmat samseng dan ahli kongsi gelap untuk mengawal premis hiburan milik mereka.

Kehadiran anasir kongsi gelap ini dibimbangi boleh menyebabkan ramai golongan muda terjebak selain menjadikan premis hiburan itu sebagai lokasi berkumpulan serta merancang aktiviti.

Berikutan itu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Kuala Lumpur bertindak menyerbu tiga premis hiburan di ibu kota sebelum menahan 20 pengawal kelab malam.

Dalam operasi bermula jam 12.15 pagi semalam dan berakhir jam 6 pagi itu, seramai 248 pengunjung termasuk 78 wanita diperiksa pihak polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Azman Mat Isa, berkata operasi diketuai Asisten Superintendan Zahirudin Baharum dengan menyasarkan tiga premis hiburan sekitar ibu kota.

Menurutnya, seramai 20 pengawal kelab malam dan 14 wanita warga asing dipercayai pelacur ditahan dan operasi itu.

“Pihak polis turut menahan enam pengunjung bawah umur termasuk lima remaja perempuan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy di sini.

“Siasatan mendapati tiga pusat hiburan masing-masing terletak di Jalan Doraisamy dan Jalan Metro Pudu di sini, menjadi tumpuan remaja bawah umur berhibur pada malam minggu. Malah terdapat pelayan wanita warga asing berkeliaran menawarkan khidmat seks kepada pengunjung premis hiburan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan dan risikan, tiga premis hiburan yang diserbu itu didapati mempunyai pelbagai elemen mencurigakan termasuk kemungkinan menjadi lokasi jenayah terancang.

“Pemeriksaan kerap seumpama ini mampu membendung kejadian jenayah dan anasir tidak bermoral,” katanya.

Azman berkata, pihaknya turut memantau identiti pengawal keselamatan yang diupah pemilik premis hiburan bagi memastikan mereka bukanlah individu yang dikehendaki polis selain turut menjadi ahli kumpulan kongsi gelap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 7:16 AM