ABD Hadi  (kiri)  menunjukkan rangka dan komponen motosikal curi yang ditemui semula di Kampung Teluk, Ara.
ABD Hadi (kiri) menunjukkan rangka dan komponen motosikal curi yang ditemui semula di Kampung Teluk, Ara.

Jitra: Seorang bekas banduan sanggup menyumbat peti ais di rumahnya dengan pelbagai komponen motosikal curi semata-mata untuk mengelak dikesan polis.

Bagaimanapun, tindakan licik suspek berusia 36 tahun itu dihidu polis yang menyerbu rumahnya di Kampung Teluk, Ara, di sini, jam 8 pagi semalam.

Serbuan sepasukan anggota polis dari pasukan Task Force Lejang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu itu dilakukan selepas menerima maklumat kegiatan suspek.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, lelaki itu baru dibebaskan 21 September lalu selepas menjalani hukuman penjara empat bulan kerana mencuri motosikal di daerah ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, suspek dipercayai kembali aktif mencuri motosikal kurang sebulan lalu dengan menyasarkan kawasan di hospital dan pasar malam.

“Siasatan mendapati lelaki itu sering membawa anaknya yang berusia empat tahun untuk mengaburi orang ramai ketika mencuri motosikal di kawasan berkenaan.

“Modus operandinya ialah menunggang motosikal bersama anaknya sebelum mencuri motosikal dengan menghidupkan suis menggunakan ‘allen key’. Motosikalnya pula ditinggalkan di situ,” katanya ketika ditemui di IPD Kubang Pasu, di sini, semalam.

Abd Hadi berkata, berdasarkan rekod, lelaki itu mencuri tiga motosikal di Hospital Jitra, tiga motosikal di Pasar Malam Taman Suria dan dua lagi motosikal di Pasar Malam Pekan Jitra 2, di sini.

Beliau berkata, kelmarin suspek mencuri motosikal di pekarangan Hospital Jitra sekitar jam 11 pagi dan sempat meleraikan komponennya namun ditahan polis sebelum sempat menjualnya.

“Berdasarkan pengakuan suspek, komponen dileraikan lebih mahal dijual iaitu sekitar RM600 berbanding sebuah motosikal dijual terus iaitu RM400 hingga RM500.

“Selain itu, kami turut menahan isterinya yang berusia 35 tahun kerana dipercayai turut terbabit kegiatan mencuri motosikal bersama suaminya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 10:06 AM