CERMIN sebuah kereta pecah dalam kejadian di Jalan Sultan Ismail, semalam.
CERMIN sebuah kereta pecah dalam kejadian di Jalan Sultan Ismail, semalam.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Pergaduhan di sebuah kelab malam di Jalan Sultan Ismail, di sini, melarat apabila sekumpulan lelaki bertindak ganas mengamuk dan memecahkan cermin lapan kenderaan yang diletakkan di luar premis hiburan itu.

Dalam kejadian jam 3 pagi semalam, sekumpulan 20 lelaki dikatakan keluar dari kelab malam berkenaan dalam keadaan mabuk sebelum memecahkan cermin kenderaan menggunakan batang besi.

Salah seorang pemandu teksi yang mahu dikenali sebagai Faiz, 38, berkata, dia meletakkan kenderaannya di kawasan berkenaan selepas menurunkan penumpang.

“Saya terkejut apabila cermin kereta saya dipecahkan mendadak. Saya tidak sempat melihat individu yang melakukan perbuatan itu kerana sedang tidur di dalam kenderaan.

“Saya hanya tersedar tidur sebaik mendengar bunyi hentakan kuat selain bunyi sistem penggera kenderaan berbunyi,” katanya.

Dia kemudian keluar dari kenderaan untuk memeriksa keadaan sebelum melihat beberapa kenderaan lain yang diletakkan berhampiran turut dipecahkan sekumpulan lelaki.

Menurutnya, seorang pengawal keselamatan mendakwa melihat sekumpulan lelaki terbabit bergaduh di dalam kelab malam berhampiran sebelum mereka memanggil lebih ramai rakan ke kawasan itu.

“Saya kemudian segera ke balai polis untuk membuat laporan bersama beberapa lagi pemandu kenderaan lain yang mengalami nasib sama,” katanya.

Sementara itu pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD) yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:08 AM