DR Ahmad Zahid
DR Ahmad Zahid
Hairulazim Mahmud
Kuala

Lumpur: “Kalau ada dalam kalangan kita di dalam dewan yang mulia ini menjadi penaung kepada pertubuhan itu (kongsi gelap), terimalah akibat mengikut undang-undang,” tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa akan bertindak ke atas ‘orang besar’ yang menaungi pertubuhan yang bergerak atas platform badan bukan kerajaan (NGO), tetapi operasinya menjurus ke arah kegiatan kongsi gelap.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Malek (BN-Kuala Pilah) yang mahu tahu tindakan kepada ‘orang besar’ terbabit di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ketika menjawab soalan asal Hasan yang mahu tahu usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengawal selia pertubuhan yang menjurus ke arah kegiatan haram itu berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan NGO terbabit yang operasinya menjurus ke arah kegiatan kongsi gelap serta mengancam keharmonian masyarakat negara ini.

Kata beliau, KDN sentiasa memantau dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar atau tidak berdaftar yang operasinya terjerumus kepada hal yang tidak tercatat dalam perlembagaan pertubuhan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 8:52 AM