ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

Bangi: Seorang kanak-kanak perempuan menahan azab lebih 30 minit apabila kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di sekolahnya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi terbabit, Aina Syifa Fauzal Murad, tujuh tahun, dipercayai tergelincir ketika berada di dalam tandas itu.

Kejadian hanya disedari apabila mangsa menjerit meminta pertolongan.

Difahamkan, rakan mangsa terdengar jeritan meminta bantuan sebelum menghubungi pasukan bomba untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi, Azmel Kamarudin berkata, sepasukan tujuh anggota bomba dan Unit Penyelamat dan Paramedik bomba dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima kecemasan.

Menurutnya, anggota bomba mendapati sebahagian kaki kanan mangsa terperosok ke dalam lubang tandas berkenaan.

“Anggota bomba mengambil masa selama 15 minit untuk mententeramkan mangsa yang dalam keadaan ketakutan.

“Mangsa menangis dan memanggil nama ibu bapanya, namun anggota berjaya menenangkan mangsa dengan bantuan guru,” katanya.

Dia berkata, anggota bomba kemudian menyuruh mangsa melembutkan kakinya bagi memudahkan kaki mangsa ditarik keluar.

“Mujur kaki mangsa agak kecil dan kami berjaya mengeluarkannya tanpa memecahkan lubang tandas berkenaan,” katanya.

Azmel berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada ibu bapanya yang hadir di sekolah selepas dimaklumkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 7:19 AM