PESERTA daripada luar negara menyertai sesi pembelajaran Bengkel Bahasa Melayu.
PESERTA daripada luar negara menyertai sesi pembelajaran Bengkel Bahasa Melayu.
Muhamamad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Biarpun hanya dua hari belajar bahasa Melayu, namun mereka sudah menguasai bahasa asas dan mampu bertutur dengan bahasa yang mudah difahami.

Bengkel selama dua hari itu yang berakhir semalam dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menerusi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Timbalan Pengarah Kanan Pusat Rujukan Malaysian dan Luar Negara PNM Harleeza Abu Husin berkata, program itu sudah memasuki tahun kedua dan penyertaan daripada orang luar sangat menggalakkan.

“Pada program tahun ini, kita mendapat penyertaan 43 orang, namun yang dapat hadir dan mendaftar dalam bengkel ini adalah 26 orang terdiri daripada beberapa negara luar.

“Antara peserta menyertai bengkel pada kali ini adalah dari Amerika Syarikat, Iran, Pakistan, Korea Selatan, China, England dan beberapa negara lain,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Harleeza berkata, objektif program itu juga selaras dengan tema bulan kebangsaan iaitu ingin memperkenalkan Bahasa Melayu kepada negara luar, sekali gus mempromosikan budaya serta bahasa tempatan.

Beliau berkata, bengkel dua hari ini bukan sekadar pengajaran berbentuk teori sebaliknya turut menggunakan pendekatan amali seperti latihan berbual dalam bahasa Melayu.

“Kita menggunakan pendekatan yang ringkas memandangkan peserta tidak mempunyai banyak masa dan bentuk pengajaran secara lebih efektif.

“Sejak dua tahun penganjuran bengkel ini, sambutan amat menggalakkan. Kita di PNM menyediakan fasiliti dan tenaga pengajar, manakala penyertaan dibuat sekretariat MM2H,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta bengkel itu, Kimberly Van Luit, 54, berkata, dia menyertai program itu kerana melihat Malaysia sebuah negara yang aman serta mempunyai kepelbagaian budaya.

Kimberly yang juga berasal dari England berpendapat bahawa bengkel dua hari itu memberi pendedahan kepadanya untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

“Saya secara peribadi berminat dengan bahasa Melayu kerana keunikannya, secara tidak langsung saya dapat mempelajari budaya di negara ini dengan penguasaan bahasa Melayu,” katanya ketika menjawab soalan wartawan dalam bahasa Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2016 @ 7:18 AM