BUKHORI
BUKHORI
ZAITON
ZAITON
MOHD Zuhairi
MOHD Zuhairi
ZAKIAH
ZAKIAH
Hamizah Badiran


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa berpegang kepada konsep mesra pelanggan dan mempelbagaikan pendekatan untuk meringankan beban peminjam membayar balik pinjaman mereka.

Antaranya, kos pentadbiran pinjaman pendidikan diturunkan daripada tiga peratus kepada satu peratus mulai Jun 2008 melalui konsep pembiayaan patuh syariah iaitu Ujrah (upah).

Pengecualian bayaran balik bagi pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda dengan kepujian kelas pertama atau setaraf juga dilaksanakan.

Tidak cukup dengan itu, PTPTN juga menyediakan pelbagai saluran bayaran balik bukan sahaja di kaunter PTPTN, tetapi juga melalui bank-bank utama, Pos Malaysia, perbankan Internet, bayaran balik menerusi potongan gaji, kaunter di pasar raya besar terpilih serta pengeluaran Akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan syarat tertentu.

Perkhidmatan Eksekutif Pemasaran PTPTN turut disediakan secara percuma untuk membantu peminjam. Sehingga kini, terdapat lebih 500 Eksekutif Pemasaran yang boleh dihubungi pada bila-bila masa dan berjumpa di mana saja mengikut kesesuaian peminjam bagi mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan.

Memahami kesulitan dialami PTPTN selain menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang peminjam, Zakiah Muhamad, 35, berjaya melunaskan hutang pinjaman PTPTN miliknya pada 1 April lalu.

Walaupun hanya selepas 10 tahun baru dapat berbuat demikian, dirinya berpuas hati kerana menjadi seorang peminjam yang melakukan bayaran balik secara konsisten pada setiap bulan.

Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia FELDA Taib Andak, Kulai, Johor, ini juga tidak malu lagi untuk berhadapan dengan ibu dan bapanya yang acap kali bertanyakan mengenai hutangnya itu apabila dirinya pulang ke kampung halaman.

“Setiap kali pulang ke kampung, ibu dan ayah pasti bertanya mengenai bayaran balik pinjaman pelajaran saya dan mereka tidak putus-putus mengingatkan bahawa apabila seseorang itu sudah berhutang, dia wajib melunaskannya.

“Saya faham dan disebabkan kesedaran serta ilmu agama yang diterapkan dalam diri oleh mereka, saya membayar pinjaman PTPTN sebanyak RM150 pada setiap bulan.

“Jumlah itu adalah mengikut kemampuan bulanan kerana saya juga mempunyai beberapa komitmen lain yang perlu dibayar,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Menurut Zakiah, kepelbagaian saluran bayaran balik yang disediakan pihak PTPTN juga tambah memudahkan urusannya.

“Menerusi perbankan Internet, segalanya boleh dilakukan semudah dihujung jari saja pada masa kini dan itulah kaedah yang saya gunakan.

“Selain cepat dan menjimatkan masa, ia juga meringkaskan urusan harian,” katanya yang membayar menerusi CIMB Bank (www.cimbclicks.com.my).

Sama seperti Zakiah, seorang lagi peminjam PTPTN, Mohd Zuhairi Harith, 30, boleh menarik nafas lega kerana bebanan hutang bulanannya kini sudah berkurangan.

Mula membayar balik pinjamannya pada sekitar 2010, Mohd Zuhairi memilih untuk melakukannya melalui kaedah potongan gaji setiap bulan.

“Saya memperuntukkan sebanyak RM100 pada setiap bulan bagi tujuan ini dan selepas hampir enam tahun, saya membuat keputusan untuk melakukan pembayaran penuh pada Ogos lalu.

“Saya tidak mahu berhutang lama-lama dan sebab itu keputusan ini diambil. Malah, isteri saya juga sudah melakukan perkara sama tetapi menggunakan saluran bayaran balik melalui pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Akaun II,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Ditanya mengenai beberapa tindakan penguatkuasaan PTPTN bagi memastikan bayaran balik dilakukan oleh peminjam, termasuk senarai hitam melalui Jabatan Imigresen dan penyenaraian dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), Mohd Zuhairi berpendapat ia adalah perlu dan wajar dilaksanakan.

“Walaupun tindakan ini tidak disenangi pelbagai pihak, ia memberi kesan baik dalam memastikan peminjam menunaikan tanggungjawab melaksanakan bayaran balik pinjaman secara konsisten demi kesinambungan dana pendidikan untuk generasi akan datang.

“Bagi saya, penyenaraian dalam CCRIS tidak mendatangkan kesan yang buruk sebaliknya berjaya mengubah peminjam untuk memberi keutamaan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN seiring dengan pinjaman lain yang dibuat melalui institusi kewangan,” katanya.

Sementara itu, langkah yang diambil PTPTN juga bukan untuk menekan mana-mana pihak sebaliknya menasihati peminjam yang ada masalah agar segera melakukan rundingan.

Turut bersetuju dengan cara PTPTN ini adalah Zaiton Shariff, 59, ibu kepada peminjam PTPTN, Siti Salimah Sheikh Mustaffa, 28.

Menurutnya, PTPTN tidak pernah memaksa peminjamnya membayar semua jumlah yang dipinjam secara tunai, sekali gus sebaliknya memahami beberapa kesukaran dialami peminjam itu dengan meminta mereka untuk berunding.

“Contohnya, jika seorang peminjam itu masih belum bekerja dia boleh berjumpa PTPTN untuk membuat penstrukturan semula selain mengetahui dengan lebih lanjut inisiatif lain bagaimana mereka boleh melangsaikan hutang itu.

“Saya rasa perkara itu amat mudah dilakukan kerana setahu saya, kaunter PTPTN sudah banyak dibuka di mana-mana saja selain boleh hubungi talian Careline atau layari laman web mereka jika terdapat sebarang kemusykilan.

“Anak-anak zaman sekarang dah cukup senang dan bertuah dengan adanya PTPTN bagi membolehkan mereka sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Ketika zaman saya dulu, mak dan ayah terpaksa bergolok gadai sehingga menjual tanah pusaka untuk mendapatkan duit menghantar anak ke universiti,” katanya.

Bagi Bukhori Othman, 57, alasan peminjam yang mempertikaikan kadar upah sebanyak satu peratus itu masih tinggi sebagai lesen keengganan mereka membayar balik juga adalah tidak wajar.

Ini kerana, jumlah itu dilihat lebih rendah dan berpatutan berbanding institusi lain.

“Kos yang dikenakan itu juga patuh syariah yang disebut ujrah bermaksud upah. Di samping itu, dengan adanya pelbagai kemudahan lain disediakan oleh PTPTN, tidak ada alasan mengapa peminjam itu tidak boleh membayar balik melainkan dia mempunyai sebab kukuh lain yang membataskannya,” katanya.

INFO

11 SALURAN PERBANKAN INTERNET KEPADA PEMINJAM

1) CIMB Bank (www.cimbclicks.com.my)

2) Maybank (www.maybank2u.com.my)

3) Bank Islam (www.bankislam.biz)

4) Public Bank (www.pbebank.com.my)

5) RHB Bank (www.rhb.com.my)

6) Ambank (www.ambankgroup.com.my)

7) Bank Rakyat (www.irakyat.com.my)

8)  Pos Online (www.posonline.com.my)

9) BSN (www.mybsn.com.my)

10) Affin Bank (www.affinonline.com)

11) Agrobank (www.agronet.com.my)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 9:41 AM