ANGGOTA bomba menyelamatkan kucing yang terperangkap dalam saluran singki.
ANGGOTA bomba menyelamatkan kucing yang terperangkap dalam saluran singki.
Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: “Saya memberi anak kucing ini nama ‘bomba’ kerana mengingatkan kisah bagaimana anggota itu menyelamatkannya,” kata Pietro Mohd Isa, 51, yang menemui haiwan itu terperangkap dalam saluran singki di rumahnya di Taman Perumahan Laman Akasia, Nilai Impian, kelmarin.

Menurut Pietro, pemberian nama berkenaan pada anak kucing itu bagi mengenang jasa anggota bomba yang bertungkus-lumus menyelamatkan haiwan terbabit selepas ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

Menceritakan semula kejadian, Pietro berkata, dia terdengar bunyi suara kucing ketika datang ke rumah berkenaan pada petang Jumaat lalu, tetapi gagal mencarinya disebabkan hari semakin gelap selain kediaman terbabit belum mempunyai bekalan elektrik.

Katanya, berikutan itu dia datang semula ke rumah berkenaan pada keesokkan harinya lalu mencarinya selepas masih kedengaran suara haiwan terbabit sebelum menemuinya terperangkap dalam saluran singki.

“Saya mahu menyelamatkan kucing itu, namun tidak berjaya disebabkan terperangkap dalam saluran. Tanpa membuang masa, saya menghubungi bomba untuk meminta bantuan.

“Lebih mengejutkan apabila kucing berkenaan disangka sudah mati kerana tiada suara kedengaran selepas diselamatkan. Namun, kecekapan anggota bomba memberi bantuan pernafasan berjaya membuatkan haiwan itu bernafas kembali,” katanya.

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 9:47 AM