Tuanku Zara   menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah  kepada Ghazali  pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-18 UPSI di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah, Proton CIty, Tanjung Malim.
Tuanku Zara menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah kepada Ghazali pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-18 UPSI di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah, Proton CIty, Tanjung Malim.

Tanjung Malim: Faktor usia tidak menghalang wartawan sambilan BH dan Harian Metro menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan Kesusasteraan Melayu sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-18, semalam.

Dr Ghazali Din, 53, bersyukur kerana penat lelahnya selama lima tahun menyiapkan tesis PhD akhirnya membuahkan hasil selepas menerima ijazah berkenaan daripada Canselor UPSI Tuanku Zara Salim pada hari pertama konvokesyen itu.

Biarpun mempunyai jawatan tetap sebagai Penyelaras Media di Bahagian Komunikasi Korporat UPSI selain menjadi pensyarah di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI sejak 2011, bapa kepada empat anak itu tetap tidak meninggalkan dunia kewartawanan kerana dunia penulisan terutama penulisan kreatif sudah sebati dengan dirinya.

“Saya menjadi wartawan sambilan di syarikat ini ketika menetap di Kedah sebelum saya berkhidmat dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKRM).

“Ketika bertugas dalam JKRM, saya menangguhkan aktiviti sebagai wartawan sambilan namun selepas meninggalkan jabatan itu, kira-kira 18 tahun kemudian, saya kembali menjadi pemberita sambilan untuk BH dan Harian Metro.

“Setiap hari jika tidak menulis, saya rasa tidak boleh duduk. Saya banyak menyumbang dalam kolum Varsiti bagi BH dan tidak kurang juga Harian Metro memandangkan ia minat saya selain memiliki sarjana dalam penulisan kreatif,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ghazali mengucapkan penghargaan kepada isterinya, Wan Salmah Wan Puteh kerana banyak memberi dorongan dan sokongan selain anak-anak yang memahami keadaannya memandangkan terlalu banyak komitmen diberikan khususnya sebagai penyelaras, warden dan pensyarah sewaktu giat menyiapkan tesis PhD.

“Saya menjadi warden di kolej kediaman Harun Aminurrashid UPSI sejak mula berkhidmat di UPSI pada 2005 bagi menjaga kebajikan pelajar.

“Jadi, waktu siang saya sebagai pensyarah serta penyelaras media manakala pada sebelah malam bertanggungjawab terhadap masalah menimpa pelajar yang menginap di kolej kediaman itu seperti sakit, kecemasan dan sebagainya hingga terpaksa berhempas-pulas menyiapkan tesis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 7:08 AM