ISMAIL  beramah mesra dengan murid  TABIKA.
ISMAIL beramah mesra dengan murid TABIKA.
ISMAIL bersarapan bersama  murid TABIKA.
ISMAIL bersarapan bersama murid TABIKA.
Muhammad Izzat Nasuruden


Kuala Kangar: Usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembaikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara menerima maklum balas yang sangat positif di mana anak-anak syarikat kementerian dan agensi di bawah kementerian serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menyumbang RM2.56 juta untuk tujuan berkenaan.

Antara anak syarikat kementerian serta agensi yang menyumbang ialah anak-anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), FELCRA Bhd, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Sinergi Perdana Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dengan nilai sumbangan RM1.64 juta.

Sumbangan berjumlah RM920,000 pula disumbangkan lapan GLC iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB), UEM Group Bhd, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat), Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Malaysia Building Society Bhd (MBSB), Bank Islam Malaysia Bhd, Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan Amanah Raya Bhd.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu adalah sahutan kepada cadangan Kabinet agar setiap kementerian membangunkan skop tugas masing-masing dengan cara yang lebih kreatif memandangkan keadaan ekonomi negara perlahan.

Menurut beliau, wang sumbangan itu akan digunakan untuk pembaikan TABIKA KEMAS seluruh negara selain menambah peralatan di TABIKA berkenaan.

“Daripada jumlah TABIKA berkenaan, 600 daripadanya memerlukan pembaikan manakala 100 lagi perlu dibaiki dengan segera. Dengan adanya peruntukan sebanyak ini, kita yakin keperluan mendesak untuk membaik pulih 100 TABIKA ini dapat disegerakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pembaikan TABIKA KEMAS oleh Anak Syarikat Milikan KKLW dan Agensi Kerajaan di TABIKA KEMAS Kampung Guar di sini, Isnin lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) KKLW Datuk Azizan Mohamad Sidin, Ketua Pengarah KEMAS Amiruddin Ariffin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang Datuk Mohd Zolkafly Harun dan ADUN Manong Mohamad Kamil Shafie.

Ismail Sabri berkata, pembaikan TABIKA KEMAS juga bertujuan untuk mengubah persepsi sebahagian ibu bapa yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk menghantar anak-anak mereka menerima pembelajaran awal.

Menurut beliau, usaha pembaikan TABIKA KEMAS juga adalah langkah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa ia setaraf dengan TABIKA atau Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) swasta lain.

“TABIKA KEMAS hanya mengenakan bayaran RM5 hingga RM20 sebulan lengkap dengan makanan dan baju berbanding TABIKA swasta yang mengenakan bayaran lebih mahal.

“Kita mempunyai 11,000 guru TABIKA KEMAS di mana 6,000 daripadanya adalah guru yang juga pemegang diploma. Ini bermakna kita menyediakan pembelajaran terbaik buat anak-anak TABIKA,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, pihaknya juga menekankan transformasi silibus yang diajar di TABIKA dengan menekankan tiga perkara iaitu pendidikan agama, keyakinan diri kanak-kanak serta penyemaian semangat patriotisme.

Katanya, pendidikan agama sentiasa menjadi keutamaan dalam pembelajaran kanak-kanak manakala keyakinan diri dan semangat patriotisme adalah langkah asuhan awal sebelum melangkah ke alam sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

“Kebanyakan kanak-kanak TABIKA atau TADIKA terutamanya di luar bandar tidak mempunyai keyakinan diri dan lemah apabila berkomunikasi secara terus dengan individu yang baru dikenali mereka, jadi kita tidak mahu perkara seperti ini berterusan.

“Kita juga mahu kanak-kanak TABIKA ini tahu secara umum tentang erti kemerdekaan dan mengenali pemimpin terdahulu agar mereka lebih menghargai negara apabila dewasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau akan memohon peruntukan yang lebih besar pada Bajet 2017 bagi memberi fokus berkaitan pembangunan TABIKA KEMAS di seluruh negara.

Menurut beliau, peruntukan itu meliputi kerja membaik pulih, membina kelas baru serta membeli peralatan pembelajaran berikutan terdapat kelas TABIKA yang hanya menumpang di bangunan lain seperti balai raya untuk sesi pembelajaran.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut meluangkan masa melawat tapak Projek Bantuan Rumah (PBR) di Kampung Lempor Hilir.

Menurutnya, KKLW mencadangkan kos pembinaan projek perumahan itu daripada RM40,000 kepada RM50,000 berikutan kos bahan binaan yang semakin meningkat.

“Untuk kawasan ini, kita meluluskan 10 unit rumah namun kita tambah enam lagi dan ia dijangka siap tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:43 AM