NOORZAINY (dua dari kiri) menunjukkan pistol pen dan slide pistol yang dirampas.
NOORZAINY (dua dari kiri) menunjukkan pistol pen dan slide pistol yang dirampas.
myMetro

Jempol: Polis membongkar kegiatan sekumpulan penjenayah yang mencipta senjata api dikenali sebagai ‘pistol pen’ hasil serbuan di dua rumah di sekitar Bahau dekat sini, kelmarin.

Pistol pen menggunakan peluru 9 milimeter diimport dari negara jiran dan senjata terbabit digunakan untuk jenayah pecah rumah serta rompak.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejayaan itu susulan penahanan sembilan suspek termasuk seorang wanita berusia 20 tahun hingga 30-an di sekitar bandar ini sejak 23 Ogos lalu hingga kelmarin.

Beliau berkata, rentetan penahanan itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di taman perumahan di Bahau dan menjumpai pistol pen berukuran 16.5 sentimeter.

“Kami menyerbu sebuah lagi rumah juga di Bahau dan menemui beberapa batang besi, gulungan spring dan ‘slide pistol’ yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan senjata api. Turut ditemui 30 butir peluru diimport dari negara jiran.

“Penahanan dibuat selepas kami menerima laporan daripada seorang ejen air minuman yang diugut melalui surat selain sebutir peluru yang dihantar kepadanya, 16 Ogos lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, semalam.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati, kumpulan terbabit memecah masuk rumah ejen berusia 40-an dan melarikan beg mengandungi dokumen, buku cek dan beberapa keping cek.

Katanya, suspek dipercayai berang apabila cek dilarikan tidak dapat ditunaikan sebelum menghantar nota ugutan dan sebutir peluru ke rumah mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki atau membawa senjata tanpa lesen atau permit.

“Semua suspek adalah penganggur dan ujian air kencing dijalankan mendapati positif dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 9:54 AM