Mohamad Roy Suhaimi Sarif.
Mohamad Roy Suhaimi Sarif.
Mohd Hasbi Sidek dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Misteri van putih yang sebelum ini dikaitkan dengan kes culik dan pembunuhan kejam kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin hampir sembilan tahun lalu, kembali menghantui semula penduduk Wangsa Maju.

Ini susulan cubaan culik kanak-kanak berusia 10 tahun oleh suspek yang muncul menaiki kenderaan model sama di Kampung Datuk Keramat, Selasa lalu.

Lebih mengejutkan apabila dua daripada empat suspek didakwa menyamar dengan memakai pakaian wanita ketika cuba menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian itu membabitkan empat lelaki dengan dua daripadanya memakai pakaian wanita menaiki van putih.

“Mangsa adalah seorang murid perempuan Sekolah Rendah Agama Al Akram, Kampung Datuk Keramat. Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke sekolah sekitar jam 1.50 petang.

“Mangsa dihampiri suspek menaiki sebuah van putih sebelum dua daripada mereka cuba menarik mangsa masuk dalam van itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas meronta, menyepak serta menumbuk muka kedua-dua lelaki itu.

“Mangsa kemudian berlari masuk ke kawasan sekolah dan menceritakan kejadian itu kepada guru bertugas sebelum laporan polis dibuat.

“Guru sama membuat laporan polis berhubung satu lagi kes cubaan culik membabitkan kanak-kanak sekolah itu pada 5 Ogos lalu apabila dua lelaki cuba menarik tangan seorang daripada dua beradik perempuan berusia tujuh dan 10 tahun yang berjalan ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, suspek yang menunggang motosikal bagaimanapun melarikan diri selepas mangsa menjerit dan meronta meminta tolong.

“Kedua-dua murid perempuan itu kemudian berlari masuk dalam masjid Al Akram berdekatan sekolah itu,” katanya.

Beliau berkata setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan kerana melakukan penculikan dan cubaan melakukan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mohamad Roy Suhaimi berkata pihaknya turut meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan selain menasihati ibu bapa berhati-hati sekiranya melihat individu mencurigakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:21 AM