MAHDZIR (dua dari kanan) mewarnakan lukisan selepas merasmikan Sekolah Seni Malaysia Johor, semalam.
MAHDZIR (dua dari kanan) mewarnakan lukisan selepas merasmikan Sekolah Seni Malaysia Johor, semalam.
Omar Ahmad


Pasir Gudang: Kementerian Pendidikan meminta semua pihak termasuk Pengarah Pendidikan Negeri melihat semula syarikat kawalan keselamatan yang menjaga sekolah bagi mengelak kejadian orang luar masuk tanpa disedari sehingga menjejaskan keselamatan murid.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keselamatan di sekolah bukan sahaja perlu diambil berat dari dalam premis, tetapi selepas tamat waktu persekolahan terutama aspek jalan raya.

“Soal keselamatan membabitkan dalam dan luar sekolah, tetapi ada syarikat kawalan keselamatan yang diberi tanggungjawab tidak faham mengenai keselamatan.

“Kita minta Pengarah Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya tengok apa yang pengawal keselamatan buat seperti kes di Terengganu apabila orang luar boleh masuk sekolah sesuka hati.

“Soal keselamatan di luar sekolah sebaik loceng tamat sesi pembelajaran dibunyikan, pengawal keselamatan perlu lihat keadaan mereka terutama di jalan raya berdekatan sekolah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Seni Malaysia Johor, di sini, semalam.

Dalam pada itu, kementerian tidak akan campur tangan dalam isu penderaan seksual membabitkan Sekolah Agama di bawah Kerajaan Negeri kerana segala peraturan ditetapkan di bawah kerajaan negeri.

Namun katanya, jika ia terjadi di sekolah bawah Kementerian Pendidikan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Sekolah dalam seliaan negeri ini ia hak negeri sebab guru dibayar gaji oleh kerajaan negeri dan peraturan mereka di bawah peraturan negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 6:17 AM