SEBAHAGIAN ahli kumpulan Geng Patrol Denggi SKBJ bekerjasama dalam aktiviti gotong-royong pada program Misi Gempur Denggi di Balai Berita NSTP Shah Alam.
SEBAHAGIAN ahli kumpulan Geng Patrol Denggi SKBJ bekerjasama dalam aktiviti gotong-royong pada program Misi Gempur Denggi di Balai Berita NSTP Shah Alam.
Ayusliza Azizan


Shah Alam: Cari, basmi dan hapuskan. Itu misi dibawa kumpulan dikenali Geng Patrol Denggi Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong (SKBJ) dalam menghapuskan pembiakan nyamuk aedes di daerah ini.

Kumpulan disertai 50 murid SKBJ itu menjalankan khidmat komuniti membasmi tempat pembiakan nyamuk aedes serta menyebar kesedaran orang ramai.

Dengan memilih Balai Berita Shah Alam (BBSA) sebagai lokasi ketujuh mereka, kumpulan itu melakukan khidmat komuniti dengan mencari lokasi sering menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ketua Khidmat Komuniti Patrol Denggi Mohamad Zaidin Senik berkata, kumpulan itu ditubuhkan selepas menyertai pertandingan adalah di bawah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

“SKBJ termasuk lapan sekolah di Selangor terpilih mewakili pertandingan ini bermula Jun hingga 2 September ini.

“Daripada 50 murid, kami bahagikan dalam dua kumpulan, satu kumpulan menjalankan kerja khidmat komuniti dan satu lagi menyampaikan mesej kesedaran kepada masyarakat.

“Untuk pertandingan ini kami perlu aktif menyebarkan aktiviti yang dijalankan di Facebook (FB), Instagram, YouTube, dan Twitter bagi mendapatkan sokongan orang ramai,” katanya.

Seramai 15 murid serta lapan guru pengiring SKBJ melawat BBSA bagi menjalankan misi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di samping mengeratkan lagi hubungan antara sekolah dan kakitangan BBSA.

Turut hadir, Pengurus BBSA Faizulddin Manshor dan Penolong Pengurus Pembangunan dan Penyelidikan BBSA Md Jefri Mohd Nor.

Mohamad Zaidin berkata, hingga kini kumpulan itu sudah melakukan gotong-royong di beberapa kawasan seperti tadika, surau, syarikat swasta, rumah anak yatim, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan sekolah.

“Geng Patrol Denggi ini akan terus bergerak menjalankan misi hapuskan denggi walaupun pertandingan berakhir nanti kerana semua murid sudah faham peranan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 8:44 AM