DR Kamarudin
DR Kamarudin
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Penyakit Infectious Bronchitis (IB) atau bronkitis berjangkit yang dikesan terhadap bekalan ayam di Selangor, Perak dan Kedah adalah kes normal, terpencil dan tidak membimbangkan industri dan bekalan ayam di seluruh negara.

Itu penjelasan diberikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamarudin Md Isa berhubung isu kekurangan bekalan ayam selepas Aidilfitri yang dikatakan berlaku disebabkan wabak IB berkenaan.

Dr Kamarudin berkata, penyakit berkenaan bukan baru bagi penternak ayam kerana ia sudah mula dikesan sejak 1930-an, malah, penyakit berkenaan boleh diatasi menerusi program pemvaksinan.

Beliau berkata, pihaknya juga mengesahkan isu berkenaan langsung tidak menjelaskan pengeluaran dan bekalan ayam secara keseluruhannya kerana ia hanya membabitkan bekalan sekitar 0.07 peratus saja.

“Berdasarkan pengeluaran bekalan ayam semasa, kematian ayam seperti yang dilaporkan itu langsung tidak memberi impak kepada keseluruhan bekalan ayam negara.

“Kami sekali lagi ingin jelaskan bahawa bekalan ayam selepas musim perayaan tidak terjejas dan masih mencukupi untuk keperluan pengguna di seluruh negara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan pemantauan pihaknya juga, kira-kira 6,000 ekor ayam mati akibat IB di Kuala Selangor sebelum Aidilfitri lalu selain sejumlah kecil dikesan di ladang ternakan di Kedah dan Perak.

Dr Kamarudin berkata, siasatan pihaknya mendapati, wabak penyakit itu berlaku disebabkan kelemahan dalam program pemvaksinan di peringkat ladang ternakan.

Menurutnya, jika program pemvaksinan mencukupi, ayam yang diternak tidak akan mudah dijangkiti virus.

“Kami minta semua memahami keadaan ini di mana sebenarnya kami tidak hadapi masalah bekalan selepas raya dan harga sepatutnya dapat dikawal,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Kamarudin berkata, pihaknya juga akui terdapat sedikit masalah pada bekalan makanan ayam iaitu bekalan jagung yang diimport dari negara pembekal utama.

“Buat masa ini, negara bergantung sebanyak satu pertiga daripada bekalan makanan ayam dari Argentina. Sementara menunggu bekalan jagung pulih sepenuhnya, pihak pengilang ada memperoleh bekalan daripada lain-lain sumber bagi menampung kekurangan bekalan dari Argentina itu.

“Namun, masalah bekalan itu juga langsung tidak menjejaskan pengeluaran ayam di seluruh negara. Kami menjangkakan bekalan makanan ayam dari Argentina pulih sepenuhnya akhir bulan ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan harga ayam di pasar di seluruh negara naik mendadak sejak Khamis lalu sehingga ada peniaga menjualnya sehingga RM10 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:04 AM