Hairul Nizam  (kanan)  bersama pemuda kampung memasang pelita.
Hairul Nizam (kanan) bersama pemuda kampung memasang pelita.
myMetro

Slim River: Seramai 20 anak muda dari Kampung Kurnia di sini membina panjut ‘gergasi’ yang menggunakan 200 pelita dan 40 batang buluh setinggi tiga meter di jalan masuk kampung mereka sempena Aidilfitri yang bakal tiba.

Projek membina panjut anjuran Pemuda UMNO Cawangan kampung berkenaan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu mengambil masa dua hari untuk disiapkan.

Pembinaan panjut itu menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan berkenaan menuju ke Hospital Slim River.

Penyelaras projek, Hairul Nizam Mohd Said, 42, berkata, buluh bersaiz besar didapati dari Hutan Rasau, dekat sini, dibawa dengan menggunakan lori dan dipotong mengikut sukatan yang betul bagi memastikan binaan panjut itu kukuh.

Katanya, tiang dipacak terlebih dulu dan diikat dengan menggunakan tali diikuti dengan menyusun buluh secara melintang untuk memudahkan kerja membina huruf serta menyusun panjut mengikut huruf supaya kelihatan cantik terutama pada waktu malam.

“Apabila selesai menyusun panjut mengikut huruf yang dibina, maka sebanyak 12 liter minyak diesel diperlukan pada setiap malam bagi memastikan cahaya panjut itu bergemerlapan pada waktu malam dengan perkataan yang menarik.

“Kedudukan panjut di tebing bukit memang menguji kesabaran kami semua dan perlu dipasang dengan berhati-hati supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini menjelang sambutan hari raya ini,” katanya.

Hairul Nizam berkata, tradisi memasang panjut terutama pada tujuh malam terakhir bulan Ramadan yang menjadi budaya masyarakat orang dulu perlu dihidupkan kembali sebagai tatapan generasi muda hari ini supaya tidak ditelan zaman yang serba moden ini.

Katanya, di sebalik tradisi itu, terdapat banyak hikmahnya dan salah satunya iaitu dapat mengukuhkan ikatan silaturahim dan semangat gotong royong dalam kalangan penduduk bersama generasi muda yang dahulunya adalah kunci utama perpaduan dalam sesebuah kampung.

Penduduk kampung, Shahrul Nizam Mohd Sharif, 33, pula berkata, inisiatif pemuda UMNO yang bergabung dengan JKKK menghidupkan tradisi memasang panjut menjelang Aidilfitri memang berbaloi apabila melihat sambutan anak muda kampung terbabit.

berjaya menimbulkan suasana harmoni dalam kalangan penduduk.

Katanya, tradisi ini memang patut dikekalkan pada setiap tahun dan dia menyarankan supaya satu pertandingan diadakan pada tahun depan di antara kampung yang terdapat di daerah ini bagi memeriahkan sambutan menjelang Aidilfitri.

“Sebagai anak jati kampung ini sememangnya saya berbangga dapat menyiapkan panjut gergasi ini dan semua ini adalah hasil kerjasama serta permuafakatan yang kukuh dalam kalangan anak muda dan penduduk yang sentiasa memberi sokongan sejak awal projek ini dijalankan,” katanya.

Keterangan gambar :

PIX 1 Hairul Nizam Mohd Said

PIX 2 Shahrul Nizam gigih memasang panjut mengikut huruf pada setiap malam menjelang sambutan Aidilfitri di Kampung Kurnia, Slim River, dekat sini.

PIX 3 Penduduk berkerjasama memasukkan minyak disel dalam panjut sehingga lewat malam.

PIX 4 Panjut gergasi bergemerlapan pada waktu malam di jalan masuk Kampung Kurnia pada setiap malam.

PIX 5 Anak muda bergotong royong memasang panjut bagi memeriahkan tujuh malam terakhir bulan Ramadan.

PIX 6 Penduduk tekun memasang panjut setinggi tiga meter yang diperbuat daripada buluh .

PIX 7 dan PIX 8 Penduduk bersengkang mata hingga larut malam memasang panjut

PIX 9 Hairul Nizam (depan) turut membantu mamasang panjut gergaji .

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:19 AM