Hayati Ibrahim


Putrajaya: Bermula tahun ini, prestasi lebih 440,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) akan dinilai menerusi sistem penilaian baharu iaitu Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang dilaksanakan sebelum ini.

Menariknya, sistem baharu ini memberi tumpuan kepada elemen pembangunan kompetensi, potensi dan keberhasilan berasaskan gred serta jawatan dan mengambil kira bidang tugas PPP.

Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Md Sani Latip berkata, pelaksanaan PBPPP adalah bagi menggantikan semua penilaian prestasi termasuk LNPT kepada semua PPP di kementerian bermula Januari tahun ini.

Sementara, katanya, PPP dalam kumpulan guru pengajaran dan pembelajaran (PdP), kepemimpinan sekolah, guru bimbingan dan kaunseling serta jurulatih sukan dan seni telah menggunakan pakai PBPPP pada peringkat pelaksanaan penuh mulai April 2015.

“Ia adalah instrumen penilaian yang dibangunkan KPM untuk menggantikan penilaian sedia ada di KPM yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Penilaian ini merangkumi semua PPP sama ada di bahagian di kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan institusi pendidikan iaitu Institut Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional.

“Ia adalah penilaian yang fleksibel kerana tidak terikat kepada sesuatu kaedah penilaian semata-mata, sebaliknya menggunakan pelbagai kaedah, kesesuaian masa dan tempat dengan pengupayaan kepada organisasi untuk merealisasikan penilaian berasaskan tugas serta tempat bertugas," katanya.

Katanya, penilaian dibuat secara dalam talian menggunakan sistem e-prestasi, sekali gus memudahkan pegawai penilaian (PP) membuat penilaian.

Katanya, penilaian dijalankan sebanyak dua kali setahun secara berterusan yang dilakukan PP yang dilantik Jawatankuasa PBPPP tempat mereka bertugas.

“Terdapat empat kaedah penilaian yang diguna pakai iaitu temu bual, semakan bahan, pencerapan di dalam kelas dan pemerhatian namun PP dibenar menggunakan pelbagai kaedah penilaian yang bersesuaian untuk meningkatkan kebolehpercayaan penilaian.

“Penilaian dijalankan mengikut organisasi. Jika guru di sekolah, Pegawai Penilai 1 (PP1) boleh dijalankan sama ada oleh Ketua Panitia atau Ketua Bidang atau Guru Penolong Kanan. Manakala Pegawai Penilai 2 (PP2) boleh terdiri daripada Guru Penolong Kanan atau Pengetua atau Guru Guru Besar. Manakala pemarkahan berdasarkan skala 1 hingga 4,”katanya.

Beliau berkata, PBPPP akan diguna untuk pergerakan gaji tahunan, pemilih penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), pemberian pingat perkhidmatan cemerlang dan urusan kenaikan pangkat PPP serta urusan-urusan lain berkaitan perkhidmatan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi KPM Azman Talib berkata, penilaian ini dibangunkan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam anjakan 4 iaitu Mentransformasi Profesion Keguruan Menjadi Profesion Pilihan dan anjakan 5 iaitu Memastikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi Ditempatkan di Setiap Sekolah.

Menurutnya, terdapat tiga komponen utama penilaian iaitu generik yang dinilai berdasarkan keperluan kompetensi umum PPP, fungsional yang dinilai berdasarkan pengetahuan dan kemahiran mengikut tugas serta tempat bertugas PPP dan keberhasilan, dinilai berdasarkan peningkatan atau pencapaian hasil tugas yang dijalankan.

Beliau berkata, kategori bidang tugas PPP termasuk PdP iaitu guru dan pensyarah; PT (A) kepimpinan sekolah dan institusi pendidikan; PT (B) pegawai di Bahagian, institut pendidikan, JPN dan PPD; fasilitator membabitkan guru bimbingan dan kaunseling, kaunselor bahagian, JPN, PPD,IPG dan KM, SISC, SiPartners+ dan FasiLINUS serta pegawai pusat perkhidmatan pendidikan khas dan jurulatih sukan dan seni.

Katanya, proses penilaian pula membabitkan pelbagai peringkat termasuk prapenilaian dengan pegawai yang dinilai (PYD) akan mengadakan perbincangan dengan PP1 dan PP2 untuk menetapkan sasaran keberhasilan pada tahun semasa.

“Apa yang menarik penilaian ini dijalankan secara berterusan dari awal hingga akhir tahun bermakna PP1 dan PP2 boleh memasukkan skor penilaian dalam dua tempoh ditetapkan supaya PYD dapat mengenal pasti kekurangan dan kelemahan bagi mempertingkat kompetensi diri berdasarkan aspek yang dinilai.

“PP boleh memasukkan skor berulang kali berdasarkan penilaian yang dijalankan. Skor yang terakhir akan diambil kira skor muktamad yang menggambarkan keseluruhan prestasi PYD berkenaan.

“PYD juga boleh berbincang dengan PP1 dan PP2 untuk memperbaiki sasaran keberhasilan yang telah ditetapkan mengikut tahap penguasaan murid, pelajar atau matlamat organisasi,”katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas daripada pelbagai pihak mendapati kaedah penilaian ini amat fleksibel dan mudah dijalankan.

Katanya, markah akan diberikan berdasarkan komponen generik iaitu 40 peratus, fungsional 60 peratus dan wajarannya diambil sebanyak 90 peratus, manakala keberhasilan pula mempunyai 100 peratus tetapi wajarannya diambil sebanyak 10 peratus sahaja.

Adzman berkata, sesi taklimat juga dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan semua pihak memahami kaedah PBPPP. Pelbagai program telah diadakan mulai Mac hingga Mei lalu untuk menyebarkan maklumat berhubung penggunaan kaedah baharu ini.

“Kementerian juga menyediakan garis panduan instrumen untuk memberikan penerangan dan pemahaman yang lebih mendalam berkaitan instrumen penilaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 9:15 AM